Ciri istimewa itu menarik perhatian penganjur Pertemuan Pendidikan Global Ketujuh dan Persidangan Antarabangsa Penyelidikan Sains Sosial Ketujuh atau Worldconferenrences.Net di Hotel Heritage, Melaka, baru-baru ini.

Urusetia penganjur program ini, Kamarul Ilzam Mohd. Zain berkata, CIDS menepati aspirasi persidangan yang bertujuan menemukan dua golongan pakar dan profesional dengan pendidik bagi menumpukan penyelidikan ke arah penyelesaian masalah berkaitan bidang pendidikan dan kehidupan sosial.

“Hal ini bertepatan dengan usaha mendepani isu mahupun keperluan menuju era Revolusi Indusri 4.0 dan Masyarakat Pintar 5.0,” katanya.

Dalam persidangan itu, Dr. Ismail dijemput sebagai pembentang ucap utama yang mengetengahkan aspek PLC dalam CIDS.

Peserta diberi bimbingan untuk mendaftar sebagai ahli PLC mengikut kategori Penyelidik, Guru, Pelajar, Pentadbir, Pendidik atau membentuk kumpulan tersendiri.

Bagi pensyarah dari Simad University, Somalia, Prof. Dr. Ali Yassin Sheikh Ali, CIDS sebagai sistem yang efisyen, mesra pengguna dan mampu berperanan sebagai hab untuk tujuan konsultasi.

Pendapat ini disokong oleh pensyarah Universiti Qatar, Dr. Ismael Yusuf Ahmed sambil menambah bahawa CIDS perlu digunakan oleh semua golongan pendidik bagi perkongsian mahupun pemantapan ilmu dan kemahiran dalam proses pembelajaran.

Sementara itu, peserta dari Islamic University of Indonesia, Zulfa Rahmaniata berhasrat melaksanakan CIDS di institusi pendidikan di negaranya.

“Dalam konteks ini, CIDS sebagai penghubung ke dunia luar bagi membina watak pelajar yang lebih bersifat global,” katanya.

Seorang lagi peserta, penyelidik Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), Noradrenalina Isah berkata, CIDS amat sesuai dan relevan terutama kepada penyelidik untuk memberi informasi, bimbingan dan perkongsian maklumat dalam talian bersama golongan pendidik dan pelajar dalam membina modal insan berkualiti tinggi.

Pelajar doktor falsafah dalam bidang reka bentuk pengajaran Universiti Sains Malaysia, Izlin Zuraini Ishak juga teruja kerana ia menepati kehendak pendidikan abad ke-21.

Maklumat lanjut mengenai CIDS boleh diperoleh dengan menghubungi 019-5713745 atau layari https://asiemodel.net/ms.