Apatah lagi dalam kalangan pelajar tingkat empat yang tinggal di kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak, pastinya pe­ngalaman ‘menjejakkkan kaki’ ke Uniten bukan sahaja memupuk minat mereka dalam bidang kejuruteraan, malah dapat memper­kenalkan mereka dengan situasi sebenar pembelajaran di universiti.

Dalam masa sama, Program Mutiara Timur 2017 anjuran Ya­yasan Tenaga Nasional (YTN) di ba­wah kelolaan Tenaga Nasio­nal Berhad (TNB) yang mereka sertai berjaya menarik minat pelajar terbabit yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun depan untuk me­nyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

Program Mutiara Timur yang dianjurkan setiap tahun sejak 2013 bukan sahaja memberi pendedahan dan mencetuskan aspirasi kepada pelajar luar bandar dan kurang berkemampuan untuk te­rus cemerlang dalam pendidikan, malah dalam masa sama memperkenalkan YTN dan TNB kepada masyarakat luar bandar.

Program tersebut juga bertujuan untuk melaksanakan tanggungjawab sosial korporat TNB kepada masyarakat.

Sebanyak 50 pelajar yang men­dapat keputusan cemerlang dalam Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) tahun lalu terpilih menyertai program itu selama lima hari empat malam itu selepas dinilai dalam sesi temubual bersama wakil YTN.

Pemilihan itu dibuat setelah YTN menerima nama para peserta dari pihak Kementerian Pendidikan dan Jabatan Pelajaran Negeri mengikut beberapa aspek seperti kepimpinan, aktif dalam kokurikulum, berpotensi cemerlang dalam SPM 2018 serta latar belakang keluarga yang kurang berkemampuan.

Antara pengisian sepanjang ber­ada di Uniten adalah menyertai aktiviti dalaman seperti lawatan sekitar Uniten, Latihan Dalam Kumpulan (LDK) dan perkongsian bermakna daripada guru yang berpengalaman menanda kertas SPM dalam subjek Matematik dan bahasa Inggeris.

Turut diadakan adalah program motivasi melibatkan pelajar-pelajar tajaan YTN dari Sabah dan Sarawak yang sedang menuntut di Uniten bagi berkongsi pengalaman cara belajar sebagai perangsang kepada pelajar terbabit untuk berjaya dalam pelajaran.

Selain itu, diadakan juga beberapa permainan pada sesi ice breaking seperti Mummy Return, missing map dan jojo bagi mewujudkan pelajar yang memiliki semangat berpasukan, kerjasama, kepimpinan dan kemahiran komunikasi.

Salah seorang peserta, Amanda Lee Yi Wee dari Serian, Sarawak berkata, Program Mutiara Timur 2017 memberi pendedahan awal kepadanya dan rakan-rakan tentang suasana sebenar belajar di universiti.

Katanya, melalui program sebegini, dia mula merasakan betapa seronoknya menyambung pelajaran di universiti kerana dapat melakukan pelbagai aktiviti seperti olahraga, terlibat dengan pelbagai persatuan dan aktiviti kokurikulum.

“Pada awalnya, saya hanya menjangka apabila di universiti, fokus kita hanya belajar, belajar dan belajar, tetapi sebaliknya program ini berjaya membuka mata saya dengan pelbagai program dan aktiviti anjuran universiti yang mampu melegakan ketega­ngan ketika belajar.

“Malah dengan fasiliti canggih dan mengikut perkembangan teknologi pastinya akan membuat suasana belajar lebih menarik dan efisien,” katanya.

Amanda yang kali pertama menjejakkan kaki di bandar raya Kuala Lumpur juga teruja diberi peluang melawat tempat-tempat menarik seperti Stesen Janakuasa Elektrik Putrajaya, Menara Berkembar Petronas, Petrosains dan I-City Shah Alam.

Sementara itu, Dayang Nur Athirah Abang Abdul Razak dari Tebakang, Sarawak pula yakin aktiviti LDK yang dianjurkan ba­nyak membantunya untuk bersedia menghadapi SPM pada tahun depan.

“Banyak ilmu yang diperoleh daripada program ini. Bukan sekadar dapat mempelajari teknik menjawab SPM dengan lebih berkesan, malah menimbulkan minat untuk saya mengenali bidang kejuruteraan.

“Asalnya saya bercita-cita mahu menjadi doktor, tetapi selepas mengikuti program ini, timbul pula minat dalam bidang kejuruteraan. Melalui program ini juga membolehkan saya membuat pilihan kursus yang lebih tepat untuk menyambung pelajaran di universiti nanti,” jelasnya.

Menurut anak kepada tukang bersih itu, kedua ibu bapanya amat positif dan gembira apabila dikhabarkan dia berjaya mengikuti Program Mutiara Timur kali ini.

“Ibu bapa saya mengharapkan saya menimba sebanyak mungkin pengalaman dan ilmu agar dapat digunakan pada masa akan datang. Mereka berpendapat saya amat bertuah kerana diberi pendedahan awal dan motivasi untuk terus belajar tanpa putus asa untuk berjaya dalam hidup,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ellysha Mohamad dari Kudat, Sabar pula te­ruja dan seronok dapat mengenali rakan-rakan baharu dari pelbagai daerah di Sabah dan Sarawak.

“Pada sesi suai kenal, saya mengenali ramai kenalan baharu. Daripada sesi itu juga saya dilatih untuk mewujudkan semangat kerjasama dalam berpasukan, wa­laupun baru mengenali mereka, tetapi kami mampu menjalin persahabatan yang baik,” ujarnya.

Berbekal ilmu yang diperoleh, Ellysha berharap dapat membuka minatnya dalam bidang kejuruteraan, sekali gus membantu merancakkan ekonomi negara.

“Kejuruteraan merupakan an­tara bidang terpenting di negara ini, Sekiranya saya berjaya me­lanjutkan pelajaran ke peringat tertinggi dan menjadi seorang jurutera, pastinya perkara pertama yang akan saya lakukan adalah untuk terus menaikkan nama Malaysia di mata dunia.

“Saya percaya melalui bidang kejuruteraan mampu membantu negara menghadapi cabaran alaf 21. Bukan itu sahaja malah dapat menjana pembangunan yang bertaraf dunia setanding perkemba­ngan teknologi,” katanya.