Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P. Kamalanathan berkata, bagi mencapai tujuan itu Kementerian Pendidikan sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak membangunkan program pendidikan kewangan untuk kanak-kanak sekolah bagi melengkapkan mereka dengan pengetahuan dan perancangan kewangan.

“Oleh sebab itu, pertandingan berbentuk pendidikan kewangan iaitu Cabaran AEIOU anjuran Alliance Bank bagi edisi ketiga tahun ini dapat memberi pendedahan tentang pengurusan kewangan, memupuk budaya menyimpan dan membantu mendisiplinkan murid,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Cabaran AEIOU itu di Putrajaya, baru-baru ini.

Yang hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Alliance Bank, Joel Kornreich.

Cabaran AEIOU merupakan peraduan melukis yang menggunakan komik dengan cara menarik dan interaktif bagi menyemai tabiat celik kewangan dalam kalangan murid sekolah rendah tahun 4 hingga tahun 6.

Sementara itu, Kornreich berkata, pertandingan itu membantu murid sekolah memahami pengurusan kewangan dengan cara yang mudah dan menyeronokkan.

“Kita menyasarkan sebanyak 7,500 sekolah di seluruh negara termasuk di kawasan luar bandar akan menyertai cabaran ini,” katanya.

Sejak dilaksanakan pada 2015, jawatankuasa penganjur telah melawat 80 sekolah rendah dan menarik penyertaan 25,000 kanak-kanak di seluruh negara.

sebanyak tujuh kategori dipertandingkan di peringkat kebangsaan melibatkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM15,000.

Kategori itu adalah komik terbaik, lukisan komik terbaik, jalan cerita terbaik, komik pilihan pengundi, karakter terbaik, komik paling kreatif dan sekolah yang menghantar penyertaan terbanyak.

Untuk menyertai pertandingan ini, murid sekolah berusia 9 hingga 12 tahun perlu mengemukakan lukisan buku komik lapan muka surat bertemakan Tabiat Kewangan Pintar sebelum tarikh akhir penyertaan 15 September ini.