Pengerusi Perbadanan Ta­bung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, kini semakin ramai ibu bapa yang menggunakan simpanan SSPN untuk membiayai pengajian anak masing-masing.

Menurutnya, senario itu terbukti apabila berlaku penurunan jumlah pengeluaran pinjaman dan kelulusan pinjaman baharu kepada pelajar dan kenaikan pengeluaran SSPN bagi tempoh 2014 hingga Julai 2017.

“Senario itu jelas menunjukkan kesedaran ibu bapa telah mula meningkat bahawa simpanan pendidikan adalah lebih baik berbanding bergantung kepada pinjaman semata-mata,” katanya pada Majlis Pelancaran SSPN-i Plus Peringkat Negeri Johor yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penera­ngan Negeri, Datuk Ayub Rahmat sempena Ekspo Johor Berkemajuan 2017 di Dataran Mahkota, Kota Iskandar, di sini hari ini.

Shamsul Anuar berkata, persediaan untuk menyimpan dan membuat penabungan awal adalah penting bagi keperluan masa depan berbanding membuat pinjaman pendidikan, sekali gus tidak dibebani hutang apabila tamat pengajian kelak.

Menurutnya, simpanan pendidikan SSPN-i Plus mempunyai banyak keistimewaan dan manfaat dapat dinikmati oleh pendeposit dan penerima, selain menawarkan Cabutan WOW! 20 Tahun PTPTN.

“Lebih 2,500 hadiah bernilai RM500,000 disediakan untuk pendeposit, merangkumi Cabutan Bulanan dan Cabutan Istimewa yang disediakan sempena ulangtahun ke-20 penubuhan PTPTN sebagai tanda penghargaan serta dorongan dan galakan kepada rakyat untuk menyimpan dengan PTPTN,” katanya.

Justeru, beliau meminta ma­syarakat merebut peluang dengan membuka akaun atau menambah simpanan SSPN-i Plus kerana pendeposit layak memenangi hadiah utama Cabutan Istimewa RM100,000 serta hadiah utama Cabutan Bulanan RM10,000.

Orang ramai diseru untuk membuka akaun segera kerana Cabutan Istimewa akan tamat pada 31 Oktober ini, katanya.

Shamsul Anuar berkata, era globalisasi menuntut kemudahan simpanan dilakukan menerusi dalam talian dan langkah itu kini diperluaskan bagi simpanan SSPN-i Plus yang boleh dilakukan pada bila-bila masa dengan melayari www.lovesspn.com.