Sekolah Kebangsaan (SK) Hulu Bernam melancarkan Hari Nadi Ilmu Amalan Membaca (Nilam) 1Selangor di sekolah itu di Hulu Selangor, baru-baru ini.
Guru Besar SK Hulu Bernam, Abdul Rahman Abdullah berkata, program Nilam memberi impak positif kepada murid terutama dalam memupuk budaya membaca.
“Budaya membaca yang menjana pengetahuan baharu dan mendorong kemahiran berfikir perlu dipupuk sejak peringkat sekolah rendah agar menjadi amalan sepanjang hayat,” katanya ketika melancarkan program berkenaan.
Hari Nilam 1Selangor ini merupakan acara tahunan peringkat negeri yang bertujuan menyemarakkan Program NILAM di sekolah.
Sementara itu, Guru Perpustakaan dan Media SK Hulu Bernam, Maziah Mohamed berpendapat, program Nilam ini bermanfaat besar kepada murid dari segi meningkatkan ilmu pengetahuan mereka.
“Malah, menerusi pembacaan juga murid dapat mengikuti perkembangan terkini yang berlaku di serata dunia terutama berita atau maklumat yang pantas tersebar di media sosial.
“Bagaimanapun, di peringkat sekolah rendah ini murid perlu dibimbing dalam menyaring kesahihan berita atau maklumat dengan menyemak kredibiliti sumbernya terlebih dahulu,” katanya.
Hal ini penting, tegasnya, agar murid tidak terpedaya dengan anasir jahat yang mungkin menjejaskan dan merosakkan masa depan mereka.