Menurut pelajar suku Temuan berusia 15 tahun itu, setiap hari dia akan bersiap seawal pukul 5 pagi sebelum bertolak menaiki van sekolah dari rumahnya di Perkampungan Orang Asli Sungai Mering, Asahan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simpang Bekoh yang memakan masa lebih 30 minit.

Anak sulung daripada enam adik-beradik itu berkata, perjalanan jauh merentasi kawasan kebun kelapa sawit dan getah bagaimanapun berbaloi bagi mendapatkan ilmu pendidikan bagi mengubah nasib keluarganya.

"Cabaran jarak itu dirasai apabila ada aktiviti pada waktu petang termasuk kelas tambahan, kokurikulum dan latihan band. Saya terpaksa mengambil risiko menunggang sendiri motosikal ke sekolah kerana ayah perlu berkebun.

"Disebabkan jarak sekolah yang terlalu jauh juga, saya selalu bangun pada lewat pagi bagi membuat latihan sendiri kerana pada waktu itu ilmu yang dibaca lebih mudah diingati," katanya ketika ditemui di SMK Simpang Bekoh di sini petang ini.

Alqiemi merupakan satu-satunya anak Orang Asli daripada tujuh pelajar cemerlang sekolah itu juga nekad ingin mencapai cita-citanya untuk menjadi seorang jurutera. Remaja itu memperolehi keputusan penuh 5A 1D 3E.

Sementara itu, Pengetua SMK Simpang Bekoh, Alias Mahpol berkata, daripada 101 calon PT3 menduduki peperiksaan dan 18 daripadanya mencatatkan keputusan lulus semua subjek diduduki.

Beliau berkata, berbanding keputusan tahun lalu, PT3 kali ini mencatatkan peningkatan keputusan sebanyak 0.88 peratus berbanding tahun lalu. - UTUSAN ONLINE