Pembangunan potensi diri dan bakat kini menjadi keuta­maan dan pelaburan berterusan kerajaan negeri demi memastikan setiap keluarga di negeri itu mempunyai sekurang-kurang­nya seorang graduan berkemahiran tinggi yang selaras dengan aspirasi menjadikan negeri ini tumpuan bakat-bakat terbaik di rantau Asia Tenggara dan pada masa yang sama memastikan rakyatnya lebih berdaya saing bagi menghadapi tuntutan ekonomi semasa.

Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa Johor kini antara yang terkehadapan dalam memartabatkan bidang pendi­dikan dan latihan Teknikal dan vokasional (TVET) menerusi pelaburan besar untuk melatih anak negeri dalam bidang yang dapat me­nyumbang dalam sektor pembangunannya.

Sebagai contohnya, usaha memartabatkan orang kurang upaya (OKU) atau yang tidak boleh pergi jauh dalam akademik dibuat secara serius apabila kerajaan negeri menjadikan TVET diiktiraf sama penting seperti pendidikan akademik.

Kumpulan Pendidikan Yaya­san Pelajaran Johor (KPYPJ) merupakan institusi milik penuh kerajaan negeri yang turut memainkan peranan besar bagi menjayakan misi Dekad Baharu Johor mene­rusi penyediaan peluang kedua pendidikan di peringkat sijil dan diploma bagi lepasan sekolah sejak 22 tahun lalu.

Sejak ditubuhkan pada 1996, institusi tersebut telah melahirkan lebih 31,000 graduan dalam pelbagai bidang menerusi Kolej Yayasan Pelajaran Johor (KYPJ) dan rangkaian Kolej Kemahiran Johor (KKJ) di beberapa daerah di negeri ini.

Baru-baru ini KKJ mendapat suntikan peruntukan berjumlah RM500,000 daripada Pejabat Menteri Besar Johor bagi menaik taraf kolej-kolej kemahirannya selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk membangunkan kemudahan latihan secara bersepadu dalam tempoh 10 tahun.

Suntikan dana ini pastinya dapat meningkatkan lagi imej dan penampilan KKJ yang sebelum ini dikenali sebagai Kolej Komuniti YPJ yang juga merupakan kolej komuniti pertama ditubuhkan di negara ini pada 1996.

Pada awal penubuhannya, Kolej Komuniti YPJ dibuka di setiap daerah bagi membuka ruang kepada lepasan sekolah yang tidak berpeluang melanjutkan pelajaran ke institusi pe­ngajian tinggi awam (IPTA) dan kini KKJ beroperasi di lima buah cawangannya, iaitu di Kampung Ungku Mohsin (Johor Bahru), Kampung Kenangan Dato’ Onn (Batu Pahat), Parit Bunga (Muar) dan Taman Matahari (Kluang).

Selaras dengan tuntutan semasa, kolej tersebut kini turut menawarkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dan Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) dalam bidang berkeperluan tinggi, an­tara Sijil Automotif Servis Selepas Jualan, Sijil Pembuatan Pastri, Sijil Penyediaan dan Pembuatan Makanan, Sijil Pengurusan Pejabat dan DKM Pentadbiran Sistem Maklumat (Tahap 4).

Turut ditawarkan Sijil Operasi Sistem Komputer, Sijil Artis Multimedia Visual, Sijil Pereka Bentuk Multimedia Animasi dan Visual serta DKM Pembangunan Kandungan Kreatif serta Sijil Pemasangan dan Penyelenggaraan Elektrik dan Sijil Pelukis Pelan Senibina.

KKJ turut menawarkan Sijil Servis dan Penyelenggaraan Motosikal, Sijil Pembuat Pakaian Wanita, DKM Pentabiran Fesyen dan Pakaian serta Sijil Pemasa­ngan dan Penyelenggaraan Elektrik dan Sijil PW2 Pendawaian Fasa Tunggal.

Sejak ditubuhkan 22 tahun lalu, KKJ telah melahirkan lebih 8,000 graduan dalam pelbagai jurusan kemahiran yang kini bertugas di dalam dan luar negara, malah sebahagian lepasan kulinari menjadi chef di bebe­rapa hotel ternama di Negara Timur Tengah seperti Dubai.

KKJ turut mendapat penarafan empat bintang daripada Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) atas pencapaian kualiti perkhidmatan, program pengajian dan komitmen tenaga pengajarnya dalam menjalankan tugas, sekali gus meningkatkan lagi reputasi KKJ sebagai pusat latihan kemahiran dalam kala­ngan masyarakat dan pesaingnya.

Selaras dengan tuntutan semasa juga, KPYPJ turut mengembangkan bidang latihan dan kemahirannya dalam sektor minyak dan gas berikutan permintaan tinggi bagi tenaga kerja mahir dalam pelbagai bidang yang diperlukan di projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petroki­mia (RAPID), Pengerang di Kota Tinggi ketika ini.

Bagi memenuhi permintaan tenaga kerja semasa di RAPID, KPYPJ telah menubuhkan Akademi Minyak dan Gas (AMG) yang berpusat di Kota Tinggi dengan menawarkan kursus-kursus jangka pendek seperti pemasangan perancah tahap 1 dan 2, penyeliaan keselamatan tapak, operator kren, kimpalan, blasting and painting, authorised entrant & standby person (AESP) dan penebatan paip.

Kesemua pelatih yang menamatkan kursus jangka pendek di AMG akan disalurkan kepada pihak majikan yang beroperasi dalam bidang-bidang berkaitan di RAPID.

Selain bidang kemahiran, program akademik yang menjadi nadi dan kekuatan KPYPJ selama ini dijalankan di Kampus Induk KYPJ seluas 40 hektar di Kilometer 16, Jalan Kulai-Kota Tinggi yang serba moden dan lengkap dengan kemudahan seperti kebanyakan kampus IPTA kini menjadi institusi iko­nik bagi pendidikan tinggi di selatan tanah air.

Kampus dibina dengan kos RM120 juta itu dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada 18 Oktober 2016 dan kini menempatkan seramai 2,518 penuntut dari seluruh negara serta menawarkan sebanyak 16 program peringkat diploma yang dijalankan di empat buah sekolahnya, iaitu Sekolah Kejuruteraan Sains Kreatif (SKSK), Sekolah Pengurusan Sains Sosial (SPSS) dan Sekolah Hospitaliti dan Pelancongan (SHP).

Bidang-bidang yang ditawarkan dalam peringkat diploma termasuk Pengurusan Teknologi, Kejuruteraan Elektrik (Mekatronik), Sains Komputer (Teknologi Maklumat), Kejuruteraan Mekanikal (Reka Bentuk), Senibina, Kejuruteraan Elektronik, Reka Bentuk Dalaman, Perakaunan, Pengajian Perniagaan, Pengurusan Sumber Manusia, Perbankan Islam, Pengurusan Perhotelan, Seni Kulinari dan Perkhidmatan Makanan Halal.

Institusi tersebut juga tidak pernah ketandusan graduan cemerlang apabila saban tahun terdapat penerima Anugerah Pingat Emas Menteri Besar Johor pada Majlis Konvokesyen KPYPJ yang mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.66 dan ke atas.

Dalam pada itu, antara program ‘niche’ yang menjadi kekuatan KYPJ adalah Diploma Seni Kulinari dan Pengurusan Perhotelan yang melonjakkan nama KPYPJ berdasarkan pe­ngalaman selama hampir 21 tahun mengendalikan program tersebut, malah kecemerlangan pasukan Sekolah Hospitaliti dan Pelancongan (SHP) meraih pingat emas, perak dan gangsa dalam beberapa kejohanan peringkat tempatan dan antarabangsa termasuk di Pulau Bali, Indonesia dan Bangkok, Thailand baru-baru ini bukan sahaja mengharumkan nama kolej, malah negara.

Selain itu, kejayaan KYPJ meraih penarafan lima bintang oleh MYQUEST bagi sesi 2016/2017 melibatkan kluster sains sosial, perkhidmatan sistem komputer dan kejuruteraan bukan sahaja menjadi kayu pengukur bagi pencapaian KYPJ, malah rujukan kepada pelajar yang mahu melanjutkan pengajian di kolej tersebut.

Kejayaan meraih ISO9001:2015 juga me­rupakan pencapaian membanggakan KYPJ kerana melibatkan amalan sistem pengurusan berkualiti dan akauntabiliti kolej tersebut untuk memenuhi kehendak dan aspirasi pelanggan.

Selain pinjaman daripada Per­badanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), penuntut KYPJ yang layak juga ditawarkan pinjaman YPJ, manakala bagi anak negeri yang cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berpeluang ditawarkan Biasiswa Menteri Besar Johor.

KPYPJ sentiasa prihatin terhadap kebajikan para penuntut terutamanya daripada keluarga kurang berkemampuan dengan menyediakan Tabung Amanah KPYPJ bagi membantu mereka, khususnya melibatkan perbe­lanjaan dan sara hidup sepanjang mengikuti pengajian di kolej berkenaan.

Bagi lepasan SPM yang berhasrat melanjutkan pengajian, Kolej KYPJ kini sedang membuat pengambilan pelajar baru bagi sesi Jun/Julai 2018 bermula 22 April hingga 8 Julai, manakala KKJ mulai 22 April hingga 15 Julai ini. Untuk maklumat lanjut boleh menghubungi KYPJ menerusi talian 07-8625655/5656 dan KKJ 07-2364­924/2387144.