Rektornya, Prof. Datuk Dr. Mohd. Rizon Juhari berkata, jumlah pelajar yang mendaftar bagi sesi kemasukan kali ini meningkat kepada 478 orang berbanding 431 pelajar pada sesi lalu.

“Berdasarkan statistik yang dikeluarkan selepas pendaftaran pada 2 September 2018, ini merupakan kemasukan yang tertinggi sejak 24 tahun penubuhan ASWARA dan institusi ini terus menjadi pilihan utama bagi melanjutkan pengajian dalam bidang seni persembahan dan kreatif.

“Kemajuan teknologi juga perlu disuntik dengan lebih agresif dalam seni persembahan supaya Malaysia tidak ketinggalan dengan negara-negara maju yang lain,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

ASWARA telah beroperasi selama 24 tahun sejak 1994 yang bermula dengan nama Akademik Seni Kebangsaan (ASK).

Selain itu, ASWARA adalah satu-satunya institusi pengajian tinggi dalam bidang seni yang melahirkan graduan pada peringkat sijil, diploma, ijazah dan ijazah tertinggi dalam bidang berkaitan industri kreatif. – UTUSAN ONLINE