Guru Penasihat Kelab Caklempong Asis, Ghani Salleh berkata, peranan alumni dan bekas pelajar turut menjadi rahsia kecemerlangan mereka di pe­ringkat kebangsaan.

Katanya, walaupun mereka sudah mempunyai jurulatih yang dibawa khas dari luar, alumni juga dilihat berperanan besar dalam membawa kejayaan kepada pasukan sekolah tersebut.

“Sebelum ini kami hanya bergiat aktif dalam pertandi­ngan muzik tradisional yang dianjurkan di peringkat sekolah berasrama penuh (SBP), namun pada tahun ini, kami cuba untuk melakukan kelainan apabila memutuskan mengambil bahagian dalam festival tersebut.

“Ini adalah kali pertama kami menyertai festival tersebut dan alhamdulillah dengan berkat usaha pelajar yang terdiri daripada pelajar tingkatan satu dan dua, kami telah mengharumkan nama Asis,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Tambah Ghani, meskipun masih muda, minat yang mendalam serta kesungguhan untuk mempertahankan seni wa­risan bangsa itu dilihat sungguh membanggakan.

“Jika hari ini, golongan muda sering dilihat lebih tertarik de­ngan permainan alat elektronik, lain pula bagi mereka apabila masih lagi sedar tentang peranan mereka untuk memperjuangkan warisan ini,” jelasnya.