MAHDZIR KHALID

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, selain itu, negara tersebut juga berminat untuk mempelajari dan bertukar-tukar pandangan dalam bidang pendidikan dan kebudayaan dengan Malaysia.

“Saya sudah berjumpa dengan menteri, pegawai-pegawai kanan kerajaan dan penerbit di Arab Saudi dan mereka sangat berminat dalam tiga komponen tersebut.

“Mereka juga mahukan hu­bung­an yang baik ini diteruskan dan dimanfaatkan sebaik mungkin bukan sahaja oleh pihak kerajaan tetapi juga swasta,’’ katanya kepada wartawan Malaysia sempena Pesta Buku Antarabangsa Riyadh di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Riyadh (RICEC) di sini malam tadi.

Sebelum itu, beliau yang mengetuai dele­gasi negara ke pesta buku itu mengiringi Menteri Kebudayaan dan Penerangan Arab Saudi, Dr. Adel Zaid al-Toraifi melawat Pavilion Malaysia yang diundang sebagai Negara Tetamu Kehormat dalam pesta buku tersebut.

Turut hadir, Duta Malaysia ke Arab Saudi, Datuk Zainol Rahim Zainuddin, Pengerusi Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), Budiman Mohd. Zohdi dan Ketua Pegawai Eksekutif ITBM, Mohd. Khair Ngadiron.

Pesta buku kali ke-10 itu merupakan antara acara tahunan yang dinanti-nantikan bukan sahaja oleh penerbit di rantau Asia Barat tetapi juga oleh rakyat Arab Saudi.

Pesta itu disertai oleh lebih 550 penerbit dari seluruh dunia dan dijangkakan lebih dua juta peminat buku akan mengunjungi pesta yang diadakan selama 10 hari itu.

Mahdzir berkata, beliau juga mengambil kesempatan menjelaskan tentang Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 dan pelancaran Transformasi Nasional 2050 (TN50) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang merupakan kesinambungan kepada beberapa rancangan masa depan Malaysia sebelum ini.

“Semua ini kita kongsikan bersama dan memberikan nilai tambah bukan sahaja kepada Visi 2030 Arab Saudi tetapi juga kepada ranca­ngan pembangunan Malaysia sendiri,’’ katanya.

Beliau menambah, undangan kali pertama ke pesta buku itu apa­tah lagi sebagai Negara Tetamu Kehormat adalah satu penghormatan besar kepada negara, sekali gus membuka lembaran baharu dalam hubungan akrab antara kedua-dua buah negara berasaskan prinsip persaudaraan.

Katanya, sebagai permulaan, Malaysia membawa 19 penerbit dan beberapa tokoh dalam bidang penulisan, budaya, pelukis dan juga pelajar-pelajar dari Sekolah Seni Johor untuk memperlihatkan budaya Malaysia kepada pe­ngunjung pesta buku itu. – UTUSAN