Pemenang dibahagikan me­ngikut kategori sekolah rendah dan sekolah menengah de­ngan juara menerima geran baik pulih kamar selesa berjumlah RM5,000, diikuti RM3,000 (ke­dua) dan RM2,000 (ketiga) beserta trofi dan sijil penghargaan.

Bagi kategori sekolah rendah, Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Bukit Maluri dinobatkan sebagai juara, SK Wangsa Jaya (kedua) dan SK Bandar Baru Sentul (ketiga).

Juara kategori sekolah mene­ngah menjadi milik Sekolah Me­nengah Kebangsaan (SMK) Convent Jalan Peel manakala naib johan SMK (Perempuan) Air Panas dan SMK La Salle Sentul di tempat ketiga.

Hadiah disampaikan oleh Pengarah Eksekutif Pengurusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Mustafa Mohd Nor sempena majlis penutup Persidangan Antarabangsa Kelestarian Bandar, Komuniti dan Rakan Kerjasama untuk Mencapai Pembangunan Lestari (SCCP 2017) di Menara Kembar Bank Rakyat, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Yang turut hadir Pengurus Besar Yayasan Bank Rakyat, Norashikin Shaharudin; Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr Imran Ho Abdullah; Pengarah Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI) UKM, Prof. Dr. Mohd Raihan Taha; Pengerusi Jawatankuasa Penganjur SCCP 2017, Datuk Shaharuddin Mohamad Ismail dan Ketua Unit Kokurikulum Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan, Nor Adzmi Baba.

Untuk rekod, Program Kamar Selesa ini merupakan kesinambungan program Penarafan Tandas Bersih Kementerian Pendidikan Malaysia dan program Anugerah Tandas Bersih 1 Malaysia Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi menerapkan budaya dan amalan tandas yang bersih dan selesa.

Objektif pelaksanaan program ini adalah bagi meningkatkan motivasi dan usaha pihak sekolah untuk menjadikan tandas sebagai tempat yang patut dijaga dan diselenggara dengan baik.

Selain itu, program ini juga ber­matlamat mempertingkat ama­lan dan pembudayaan kebersihan kamar selesa sekolah dari aspek penggunaan dan penja­gaan.