Siti Zubaidah Ismail

Itu disedari oleh Siti Zubaidah Ismail, 19, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Payong yang tinggal di Kampung Pancur, sebuah penem­patan di kawasan pedalaman di Hulu Besut.

Pelajar itu membanggakan negeri ini yang banyak memberi tumpuan terhadap pendidikan apabila muncul sebagai salah seorang calon terbaik di peringkat negara dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2016 yang diumumkan semalam.

“Saya mengulangi kaji pelajaran di sudut dapur rumah, tak ada masalah di mana-mana pun,” ujar anak kepada seorang penoreh getah itu yang bercita-cita untuk menjadi pensyarah.

Anak ketiga daripada lima beradik itu memberitahu dia tidak menjadikan kerja rumah yang diberikan oleh guru-guru sebagai suatu bebanan tetapi menambahkan azamnya untuk berjaya.

Dia ingin menebus kehampaannya dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dua tahun lalu dengan hanya memperoleh keputusan 6A, 1B dan 3C .

Siti Zubaidah yang dihubungi menerusi telefon kerana berada di Putrajaya untuk menerima penghargaan daripada Kementerian Pendidikan ekoran kejayannya itu memberitahu, lazimnya dia tidur awal dan bangun mengulang kaji kira-kira pukul 4 pagi.

Katanya, di sekolah pula, selain memberikan tumpuan penuh semasa guru sedang me­ngajar dia juga tidak segan untuk bertanya kepada guru dan meminta bantuan rakan jika mempunyai kemusykilan.

“Pada sebelah petang selepas pulang dari sekolah, saya meluangkan sedikit masa untuk belajar dan pada waktu malam juga menonton rancangan yang sesuai yang disiarkan oleh tele­visyen seketika, “ ujarnya.