Baginda selaku Pro-Canselor Universiti Malaysia Perlis (Unimap) bertitah, ini kerana jaringan hubungan antara alumni dan universiti  terkemuka dunia seperti Harvard dan Cambridge telah berkembang luas sehingga mencipta pelbagai kejayaan.

Titah baginda, setiap alumni pernah melalui pengalaman sendiri bermula daripada menjadi seorang pelajar kepada graduan.

"Alumni adalah contoh teladan yang berkesan dan mudah diterima oleh pelajar dan apabila kembalinya semula mereka ke universiti akan dapat memberikan sumbangan idea dan kepakaran dalam aspek kerjaya serta  menjadi mentor dalam aspek pembangunan potensi diri pelajar," titah baginda.

Baginda bertitah demikian semasa berangkat mencemar duli bagi menyempurnakan Sidang Keenam dan terakhir bagi Istiadat Konvokesyen Ke-12 Unimap 2017 di Dewan Ilmu, Kampus Alam Pauh Putra petang ini.

Keberangkatan baginda disambut oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Datuk Dr. Mohd. Sofi Osman dan Naib Canselor Unimap,  Prof. Datuk Dr. Zul Azhar Zahid.

Sebanyak 244 graduan Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan (Kepujian) dalam jurusan Elektronik - Rekabentuk Rangkaian Elektronik, Mekanikal - Pemesinan dan Mekanikal - Sistem Pertanian menerima ijazah masing-masing.

Selain itu, seramai 329 lagi menerima Diploma Kejuruteraan (Kejuruteraan-Pembuatan, Elektrik, Metalurgi, Mikroelektronik, Mekatronik dan Komputer). - UTUSAN ONLINE