Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Logo Kaji Selidik Pembaca

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Alumni UKM tubuhkan Portal MajalahSains.Com

BERSAMA editorial MajalahSains.Com yang berjaya menarik minat orang ramai meminati bidang sains. 2
BERSAMA editorial MajalahSains.Com yang berjaya menarik minat orang ramai meminati bidang sains.

$content.lead.value

Sebut saja sains, tentu saja terbayang formula dan simbol-simbol yang rumit dan memeningkan kepala. Tambahan pula banyak pula buku rujukan terdapat dalam Bahasa Inggeris menyebabkan ramai yang tidak betah belajar sains. 

Justeru banyak yang perlu dilakukan bagi membuka minda generasi baru terhadap bidang sains dan teknologi untuk mencetuskan dan menanam minat mereka. Bagi memupuk minat generasi muda dalam sains dan teknologi Mohd Faizal Aziz, seorang Pegawai Sains Kanan di Institut Kejuruteraan Mikro dan Nanoeletronik (IMEN) di Universiti Kebangsaan Malaysia telah membangunkan portal Majalah Sains - satu-satunya portal sains dalam Bahasa Melayu pertama di negara ini di peringkat awal.  

“Pada asalnya, saya bermula sebagai penulis rencana sains di majalah sains popular terbitan tempatan sejak tahun 2004. Selain minat membaca dan menulis, saya juga berkerjaya dalam bidang sains. 

“Di tempat kerja, saya terdedah kepada pelbagai maklumat dan pengetahuan baru dalam penyelidikan bidang nanoteknologi dan mikroelektronik. Dari situ saya terfikir, bagaimana ilmu-ilmu dan pengetahuan sains dan teknologi yang hebat ini perlu dikongsikan bersama masyarakat di luar sana yang tertanya-tanya, apakah yang dilakukan oleh penyelidik tempatan. Semua ini mendorong saya menulis artikel pertama berjudul Dari Mikro Ke Nano yang memfokuskan perubahan teknologi tinggi dalam bidang penyelidikan nanoteknologi,” katanya. 

Selain kegiatan membaca dan menulis, timbulnya idea MajalahSains.Com ialah apabila melihat lambakan portal-portal sains dan teknologi berbahasa Inggeris di Internet. Tidak dinafikan bahawa Bahasa Inggeris penting pada masa kini, tetapi sesuatu harus dilakukan untuk menyeimbangkan kandungan sains dan teknologi Bahasa Melayu di Internet. “Sekiranya kita tidak berbuat demikian, sains dalam Bahasa Melayu akan pupus. Salah satu faktor kemerosotan STEM juga berpunca daripada topik STEM itu dilihat tergolong kepada mereka golongan ‘elit’ yang menggunakan perantaraan Bahasa Inggeris.

“Daripada pengalaman kami, pembaca terutamanya di kawasan luar bandar lebih mudah memahami penulisan Bahasa Melayu dan usaha kami ini sedikit sebanyak dapat mencetus minat murid-murid dan pembaca di kalangan mereka di kawasan luar bandar,” katanya. 

Sehinggalah pada tahun 2009, tercetus di fikiran Faizal untuk mengumpulkan puluhan artikel yang pernah tersiar untuk diterbitkan di dalam satu portal yang dinamakan sebagai MajalahSains.Com. 

Ketika berada di Montreal, Kanada, Faizal telah menghubungi Dr. Rosdiadee yang waktu itu berada di Bristol, United Kingdom (UK) untuk pengajian Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dan menyatakan hasratnya. 

“Dr. Rosdiadee teruja dengan idea tersebut, lantas mula menulis satu artikel. Beliau sifatkan penulisan artikel sains popular sebagai medium untuk melepaskan tekanan daripada menulis di jurnal akademik, yang lebih bersifat agak serius. Sejak dari itu, kami tidak lagi menoleh ke belakang dan terus menulis,” katanya. 

Menurut Faizal, portal MajalahSains.Com sebenarnya telah lama ditubuhkan iaitu pada bulan Jun 2009. Sewaktu di awal penubuhan, beliau sendiri bertindak sebagai pengendali, editor dan penulis. 

“Tetapi untuk berkembang lebih jauh, saya fikir ia tidak mampu dilakukan seorang diri. Lantas saya menjemput rakan-rakan seperti Dr. Ismayadi, Ahmad Amryl dan Hasfazilah untuk bertindak sebagai  pasukan kerja MajalahSains.Com. 

“Mereka semua adalah rakan-rakan saya sejak di zaman universiti yang mengikuti kursus sains, kejuruteraan dan teknologi maklumat. Contohnya saya dan Dr. Rosdiadee merupakan rakan sebilik sewaktu matrikulasi pada 1998, Dr. Ismayadi rakan sejak zaman persekolahan. Kami semua merupakan alumni dan produk UKM. 

“Yang jelas, minat kepada topik sains dan berkongsi ilmu kepada masyarakat umum menyatukan kami. Selain itu, kami juga berterima kasih kepada penulis bebas, penyumbang rencana dan rakan-rakan lain yang menyumbang idea untuk kelangsungan portal ini. Semua ini kami lakukan demi untuk melihat perkembangan sains dan teknologi dinikmati oleh semua rakyat Malaysia tidak kira bangsa. Moto kami ‘Membina Generasi Celik Sains’,” katanya. 

Berkongsi kepakaran

Sambutan terhadap portal sangat mengejutkan. Ia di luar jangkaan kami. Kami menerima purata kunjungan sekitar lapan hingga 12 ribu sehari dan bergantung kepada isu-isu yang diutarakan seperti isu bauksit serta temubual khas bersama Nur Adlyka Ainul Annuar mengenai penemuan Supermassive Black Holes. 

Selepas kejayaan portal MajalahSains.Com, pasukan Mohd Faizal melangkah setapak lagi untuk membangunkan buku Sains-lah! Idea ini muncul hasil perbincangan berkumpulan tentang usaha untuk mengumpulkan saintis-saintis muda Malaysia yang terdiri daripada pensyarah, pelajar PhD dan mereka-mereka yang cemerlang dalam kerjaya masing-masing dalam bidang STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik). 

“Tujuan utama buku ini ialah supaya mereka boleh berkongsi pengalaman dan kepakaran mereka dalam bentuk yang paling ringkas agar memberi motivasi kepada golongan remaja serta pelajar-pelajar tentang kepentingan menguasai bidang STEM. 

“Untuk itu, kami memilih penulis-penulis yang rata-ratanya berumur sekitar 30-an yang sedang dan telah tamat bidang pengajian mereka di peringkat Doktor Falsafah supaya menulis tentang motivasi mereka sendiri untuk dikongsikan bersama pembaca. Ia bertujuan untuk melihat sejauh mana dorongan dalam diri mereka sendiri untuk berkecimpung dalam bidang penyelidikan STEM sehingga berjaya menamatkan pengajian dengan cemerlang. Pilihan umur juga dibuat oleh kerana mereka masih di dalam fasa untuk memperkukuhkan kerjaya, jadi pasti ada cabaran dan juga perjalanan yang boleh mereka kongsikan bersama sebagai motivasi,” katanya. 

Di samping itu, jelas Mohd Faizal, mereka juga mengenengahkan penulis-penulis yang terdiri daripada jurutera, guru sains, graduan lepasan ijazah pertama yang baru bergelumang dalam dunia penyelidikan. Buku Sainslah yang pertama kali diterbitkan pada April 2016, kini sudah memasuki cetakan ketiga. Paling mengejutkan buku berkenaan sangat laris ketika dilancarkan di Pesta Buku Antarabangsa MAEPS 2016 dan habis dijual pada hari keempat PBAKL2016 yang berlangsung selama 10 hari. Manakala buku Sainslah-2 baru diterbitkan April lalu dan kini sudah mulai susut dari gudang cetakan. 

“Kami mendapati, portal MajalahSains.Com dan buku Sainslah mempunyai peminat tersendiri. Kami juga menyedari kepentingan media sosial, jadi pembaca boleh mengikuti perkembangan kami samada di Facebook, Twitter dan Instagram di bawah akaun: majalahsains,” katanya.  

Mohd Faizal dan Dr. Rosdiadee selaku editor MS dan dua buku Sainslah boleh dikatakan pencetus idea seterusnya berjaya mengumpulkan saintis untuk menghasilkan buku Sainslah! 1 & 2 di dalam Bahasa Melayu. Setakat ini tiada lagi portal majalah sains berbahasa Melayu yang berjaya menarik minat pembaca dan memudah pelajar membuat rujukan. 

Ditanya mengenai cabaran dalam membangunkan portal MajalahSains.Com dan menerbitkan dua buah buku Sains-Lah 1 dan 2, Mohd Faizal berkata, tidak terdapat kesukaran besar. “Semuanya agak lancar. Ini kerana, kami menggerakkannya dengan penuh rasa seronok tanpa tekanan dari luar. MS bagi kami, adalah wadah untuk menyampaikan sesuatu maklumat secara santai dan kami sememangnya mempunyai minat dan motivasi tinggi untuk tujuan itu. Bagaimanapun boleh dikatakan sebagai cabaran ialah untuk berkembang supaya berada di suatu tahap yang lebih tinggi. Misalnya menjadi rujukan penting orang ramai dalam bidang ini. 

“Sememangnya semua ini memerlukan sumber-sumber yang agak besar dan tenaga kerja yang lebih ramai. Untuk mendekati pembaca di era media sosial, pelbagai pendekatan perlu digunakan. Jadi itulah sebenarnya cabaran kami,” katanya. 

Baru-baru ini terdapat ruangan bagaimana untuk mengubah jurnal menjadi bacaan yang mudah dibaca dan difahami oleh orang awam. Ini sesuatu yang menarik. Oleh yang demikian, pihak MS rasa bertanggungjawab menggunakan sedikit pengalaman sains yang dimiliki untuk ‘melawan’ arus ini, dan menghasilkan kandungan sains dalam bahasa Melayu. Dari situ MS terus bertahan sehingga sekarang.

“Kami di MS sedaya upaya menjadikan portal ini sebagai portal rujukan profesional dan bukan sekadar blog harian biasa yang mengumpulkan artikel dan tulisan semata-mata. Sebab itulah kumpulan editorial kami terdiri daripada profesional yang memiliki latarbelakang yang agak kukuh dalam bidang ini termasuk memberi nasihat tentang halatuju MS.

Foto Ihsan MajalahSains.Com 

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain