Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Emeritus Datuk Dr. Hassan Said berkata, UiTM mempunyai lebih 700,000 alumni tetapi penglibatan golongan itu masih lagi kurang memberangsangkan.

Jelas beliau, UiTM menganggap golongan itu sebagai aset utama dan pihaknya akan meningkatkan lagi usaha dalam mencari dan menjalinkan hubungan lebih rapat dengan alumni.

“Satu daripada penyumbang kepada kelangsungan sesebuah universiti ialah alumninya dan ini terbukti di beberapa universiti terkemuka seperti Cambridge University dan Harvard University yang berjaya membuat kutipan dana memberangsangkan daripada alumni mereka.

“Kita ada 700,000 alumni dari pelbagai sektor, tetapi tiada jalinan yang rapat. Kita akan ubah pendekatan, tidak lagi boleh tunggu di pejabat sebaliknya kita akan datang mencari mereka,” katanya dalam program Jalinan Universiti-Industri, Komuniti, Alumni dan Keusahawanan (UIES 2018), baru-baru ini.

Dalam program berupa forum dan sesi soal jawab itu, tiga tokoh telah dijemput untuk menjadi ahli panel iaitu Pro Canselor UiTM, Tan Sri Dr. Arshad Ayub; Pengerusi Eksekutif Nadi Corporation Sdn. Bhd, Tan Sri Mohd. Nadzmi Mohd. Salleh; dan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Berhad, Datuk Kamarudin Meranun. Majlis itu turut dihadiri, Presiden Persatuan Alumni Universiti Teknologi Mara (PAUiTM), Datuk Zaini Hassan.

Hassan memberitahu, UIES 2018 merupakan program kali ketiga dianjurkan dalam usaha untuk mengumpul dan menggabungkan wakil-wakil fakulti UiTM dengan para pemain industri dalam membantu menggerakkan hubungan bersama.

“Selain itu, UIES menjadi platform perkongsian idea antara pemain industri dan alumni serta dengan warga UiTM.

“Satu sesi networking atau jalinan kerjasama turut diadakan selepas tamatnya forum dan diharapkan ia dapat memanfaatkan tetamu serta warga UiTM yang hadir,” ujarnya.

Tambah Hassan, beliau berharap alumni akan kembali untuk memberi sumbangan dalam apa juga bentuk serta membantu mempermudah usaha memperhebat UiTM.

Dalam pada itu, Hassan berkata, dengan penglibatan pihak industri serta alumni, secara tidak langsung mempertingkat kemampuan dan kemajuan universiti dalam mencapai matlamat menjadi universiti tersohor di negara ini.

“Kita sebenarnya berbangga dengan penglibatan alumni UiTM, yang mana apabila ada penglibatan mereka dalam aktiviti universiti merupakan satu tanda positif alumni atas kepercayaan terhadap universiti.

“Kita mahu penglibatan alumni menjadi sebahagian daripada ekosistem universiti yang mana akan memberi nilai tambah serta perkembangan yang lebih hebat kepada universiti,” katanya.

Hasan berkata, beliau turut menyeru supaya alumni UiTM terus menyumbang dana kepada Tabung Pendidikan 1 Bilion (TP1B) yang dilihat kurang mendapat sambutan dalam kalangan alumni.

Beliau berkata, dana pendidikan itu perlu bagi membiayai projek dan program berkaitan termasuklah beberapa kajian ilmiah yang dilaksanakan universiti.

“Tabung yang dilancarkan dua tahun lepas itu setakat ini telah mengumpul lebih RM10 juta dan untuk capai ke RM1 bilion adalah sangat jauh,” katanya.

APA KATA MEREKA

“Pada hari ini UiTM banyak melahirkan siswazah dalam pelbagai bidang profesional dan mampu menyumbang kepakaran dan pengaruh masing-masing bagi menjulang martabat universiti. Dengan keahlian dan siswazah yang melebihi 700,000 orang, alumni UiTM mempunyai potensi memainkan peranan membantu menghulur dana untuk Tabung Pendidikan 1Bilion UiTM.”

Arshad Ayub

“Alumni UiTM harus memperluas peranan dalam usaha ke arah membina negara dan bangsa. Kita perlu membangunkan ekosistem yang bertanggungjawab dengan UiTM menerusi program yang mencerminkan wawasan dan identiti universiti.”

Mohd. Nadzmi 
Mohd. Salleh

“Alumni UiTM perlu mempertingkat sumbangan tenaga dan buah fikiran untuk kepentingan serta pembangunan universiti. Alumni bukan sahaja aset intelektual universiti malah merupakan modal insan yang mempunyai peranan penting ke arah perkembangan universiti, bangsa dan negara.”

Kamarudin Meranun