Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Seri Hasan Malek berkata, keberkesanan Tutor merupakan faktor yang mendorongnya menaja akhbar tersebut untuk 62 buah sekolah bagi tahun ketiga sejak 2016.

“Kita sentiasa memberi soko­ngan kepada sebarang usaha menambah baik prestasi pendidikan anak-anak Kuala Pilah. Tajaan yang dibuat ini adalah untuk membantu usaha Pejabat Pendi­dikan Daerah (PPD).

“Saya ada petunjuk prestasi utama (KPI) dalam tajaan ini dan terbukti banyak laporan menunjukkan Tutor berjaya meningkatkan prestasi pelajar apabila digunakan sejak tiga tahun lalu.

“Saya harap pihak sekolah dan guru akan terus memanfaatkan Tutor supaya pencapaian pelajar bertambah baik dari semasa ke semasa. Saya ucapkan terima kasih kepada guru yang menyo­kong usaha ini,” katanya.

Beliau berkata demikian keti­ka berucap dalam majlis Pelancaran Sumbangan Tutor 2018 dan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Mene­ngah Kebangsaan (SMK) Senaling di sini, semalam.

Hasan turut menyerahkan rep­lika cek tajaan bagi 47,650 nas­khah Tutor bernilai RM29,880 untuk 47 sekolah menengah dan 15 sekolah rendah kepada Timbalan Pegawai Pendidikan daerah, Kamanizam Tindek.

Yang turut hadir, Ketua Unit Produk Baharu/Sokongan dan Operasi Utusan Melayu (M) Berhad, Azharudin Awang Long dan Pengetua SMK Senaling, Elmy Azizan Abdul Aziz.

Terdapat tiga produk Tutor iaitu Tutor UPSR, Tutor PT3 dan Tutor SPM yang diterbitkan setiap Isnin dengan kandungannya diolah oleh guru cemerlang dan pakar manakala mutu soalan pula dikawal selia supaya mengikut format terkini.

Dalam perkembangan lain, Hasan meminta alumni sekolah diperkasakan supaya bekas pelajar yang sebahagian besarnya te­lah berjaya dapat memberi sumbangan kepada sekolah.

Mengambil contoh Alumni Sekolah Menengah Kebangsaan Tuanku Muhammad di sini, yang kebanyakan pelajar menjadi tokoh penting, Hasan berkata, banyak yang telah dilakukan untuk manfaat sekolah itu antaranya mengumpul dana bagi pembinaan dewan baharu dan mercu tanda sekolah.