Baginda bertitah menarik perhatian dengan menggambarkan bagaimana situasi tersebut boleh direalisasikan menerusi hubungan yang baik antara umat Islam di Perlis, Malaysia dengan wilayah Trang.

"Beta berharap agar umat Islam tidak sesekali melemahkan perpaduan yang sedia terbina ini.

"Apatah lagi untuk memenuhi tuntutan segolongan ekstremis. Ingatlah bahawa golongan ini (esktremis) berjuang hanya untuk memenuhi kepentingan peribadi.

"Kukuhkanlah perpaduan di antara kita dengan melakukan penambahbaikan supa­ya kita menjadi umat yang lebih kuat, bersatu-padu dan berkualiti dalam semua aspek kehidupan," titah baginda.

Baginda bertitah demikian semasa berkenan berangkat bercemar duli menghadiri Program Hijrah Minda Antarabangsa Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Siri 1 2018 anjuran majlis agama itu serta Majlis Ramah Mesra Bersama Komuniti Islam sebelum menunaikan solat Jumaat berjemaah di Masjid Sujud Al-Islam di sini, hari ini.

Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Yang turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr. Syed Omar Syarifuddin Syed Ihsan dan Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam negeri, Datuk Khairi Hassan serta delegasi terdiri daripada ketua-ketua jabatan kerajaan negeri dan Persekutuan.

Terdahulu baginda turut berkenan bercemar duli bersama delegasi menghadiri Program Semarak Bahasa Melayu dan Majlis Ramah Mesra di Sekolah Satun Santisuksa di wilayah Satun dekat sini.

Tuanku Syed Faizuddin seterusnya bertitah berharap supaya hubungan persaudaraan Islam, kebudayaan dan sejarah antara Perlis di Malaysia dengan wilayah Trang akan terus terjalin erat, mesra dan kukuh.

"Jika kesatuan ummah menjadi kukuh, segala pe­ran­cang­an pembangunan dan kemajuan dalam pelbagai aspek akan berjalan dengan lancar.

"Untuk mencapai hasrat ini, kita perlulah saling hormat-menghormati, ingat-memperingati, bertanggungjawab, beradab sopan serta mempercayai antara satu sama lain.

"Hindarilah daripada sifat-sifat keji dengan mencemarkan nama baik, melaga-lagakan, mengeksploitasi dan mempolitikkan isu-isu yang sensitif," titah baginda.

Baginda berharap supaya majlis diadakan itu akan menjadi platform terbaik dalam memperkukuhkan lagi perpaduan umat Islam antara dua negeri, wilayah dan negara yang berjiran.

Pada majlis tersebut, MAIPs menyumbangkan sebanyak RM5,000 kepada masjid itu untuk tujuan aktiviti dakwah dan kemasyarakatan yang diterima oleh imamnya Hamzah Bay dan THB1,000 (RM124) kepada seramai 80 orang pelajar anak-anak yatim dan fakir miskin. - UTUSAN ONLINE