Walau apa sahaja persiapan yang dilakukan, paling penting setiap jemaah perlu mempersiap diri dengan kekuatan mental dan fizikal kerana ibadat haji sememangnya menuntut ketahanan kedua-dua elemen tersebut kerana ia saling membantu antara satu sama lain.

Saya ingin berkongsi sedikit sebanyak pengalaman sewaktu mengerjakan haji dan memberi tip yang mungkin berguna untuk jemaah membuat persediaan akhir sebelum berangkat ke Tanah Suci mengikut jadual penerbangan masing-masing.

Bagi yang mahu mengulang kaji, saya cadangkan untuk menonton video Abu Anas Madani dalam siri Fiqh Manhaji J2 (Haji 01) dalam YouTube. Selagi belum berangkat ke sana, kita masih berpeluang mendalami ilmu daripada mereka yang berpengalaman dan arif mengenai ibadat haji.

Selain itu, berusahalah untuk meningkatkan tahap kesabaran dan sifat tolak ansur dalam menghadapi ujian yang bakal diharungi di Tanah Suci. Berdasarkan pengalaman, kesemua elemen itu sangat penting apatah lagi tatkala terpaksa berkongsi bilik dengan orang yang tidak pernah dikenali. Bagi majoriti jemaah, kita hanya tahu siapakah teman sebilik apabila memasuki bilik yang diperuntuk. Berdoalah semoga dikurniakan teman yang tidak banyak kerenah, penyabar dan tidak mementingkan diri.


PANDUAN UNTUK MELANCARKAN IBADAH


Pastikan keperluan asas diri – sama ada jemaah lelaki atau wanita – tidak terkecuali daripada senarai barang yang perlu dibawa ke sana.

n Jangan lupakan ubat-ubatan dibekalkan doktor bagi jemaah yang mempunyai masalah kesihatan, sama ada penghidap diabetes, jantung atau sebarang penyakit yang memerlukan ubat secara berkala.

n Bagi yang tiada masalah kesihatan, anda digalakkan membawa ubat batuk, demam, antibiotik dan selesema sebagai persiapan awal walaupun Tabung Haji turut menyediakan klinik untuk merawat jemaah di sana.

* Sesuatu yang lumrah bagi jemaah berdepan dengan masalah seperti demam, selesema atau batuk-batuk sewaktu di Tanah Suci seiring dengan perubahan cuaca, apatah lagi pada musim haji kali ini, cuaca melebihi 40 darjah Celsius dan boleh mencecah sehingga 50 darjah Celsius sewaktu di Arafah dan Mina.

n Kipas angin mini yang mempunyai penyembur air

* Sangat berguna sewaktu di Arafah, Muzdalifah dan Mina. Begitu juga dengan gula-gula yang boleh melegakan kerengsaan tekak.

* Percayalah, semuanya sangat bermanfaat sewaktu tekak kita mula gatal-gatal. Kunyah gula-gula tersebut dan bersedekahlah kepada jemaah di kiri kanan anda. 

n Khas untuk jemaah wanita, jangan bawa terlalu banyak pakaian. Empat atau lima pasang sudah mencukupi. Pastikan juga membawa seluar panjang untuk dipakai di dalam jubah atau baju kurung. 

n Perkara paling penting, jangan lupa membawa kasut yang selesa dan sesuai kerana ia amat penting untuk memastikan kaki tidak melecet atau sakit. Jemaah perlu sedar bahawa kita terpaksa berjalan beberapa kilometer setiap hari bagi mereka yang mahu bersolat di Masjidilharam.

* Bayangkan sekiranya hotel penginapan terletak kira-kira satu kilometer dari Masjidilharam. Setiap hari jemaah biasanya membuat dua perjalanan pergi balik ke masjid:

1 Waktu pagi untuk solat subuh dan kembali ke hotel selepas subuh.

2 Ke masjid sekali lagi untuk solat asar dan biasanya jemaah akan terus berada di sana sehingga selepas isyak. Berulang-alik ke masjid dua kali sehari bermakna kita berjalan sekurang-kurangnya empat kilometer! Itu hanya untuk ke masjid sahaja

*Tidak termasuk perjalanan untuk membeli-belah dan makan-makan.

* Selain itu, amalan berjoging atau berjalan laju di tanah air sangat bagus untuk persiapan diri sewaktu di Tanah Suci.


n Bawalah juga makanan yang tahan lama seperti serunding, sambal bilis atau dendeng daging. Simpan dan berjimat makan bersama rakan sebilik. Jangan dihabiskan dalam waktu singkat.

* Ingat, kita berada di sana untuk tempoh lama. Makanan yang disajikan Tabung Haji memang menepati spesifikasi ditetapkan, namun ada yang mengadu tidak kena pada selera.

* Makanan kering inilah yang bakal membantu ‘membuka selera’ dan paling penting, menghilangkan sedikit sebanyak kerinduan kepada hidangan enak dan ‘kena pada tekak’ di tanah air.

n Mungkin ramai yang lupa tentang perlunya membawa pisau, sudu, garfu dan pengupas buah (fruit peeler). Mungkin ada yang menganggapnya remeh tetapi pisau dan peeler sangat berguna terutama apabila hampir saban hari kita disajikan dengan buah-buahan seperti epal, pear dan oren. 

n Jika anda penggemar kopi atau nescafe, bawalah bersama kerana rasa minuman di sana tidak sesedap di sini. Mungkin ada yang menyoal, bawa pelbagai benda makan, nak pergi beribadat atau makan-makan? Anda boleh kata apa sahaja, tetapi kita perlu faham bahawa tempoh di sana bukan hanya seminggu. Tempoh lebih 40 hari bukan jarak masa yang singkat. 

n Sekiranya wujud sebarang keraguan atau persoalan, rujuklah dengan pembimbing haji di setiap maktab.

* Sebaiknya, usah bertanya pada rakan sebilik kerana dibimbangi mereka juga keliru dan bakal memberi jawapan yang mungkin menjejaskan ritual haji kita.

* Ikut nasihat petugas Tabung Haji. Mereka terlatih dan biasanya padat dengan ilmu serta pengalaman di Tanah Suci.

Apa sahaja yang dilalui, semoga Allah membantu 
semua jemaah dalam mempersiap diri – minda dan fizikal. Paling penting, jaga hati, jaga mulut dan jaga mata. Elakkan perbualan kosong yang boleh membawa kepada dosa dan menjejaskan ibadat.

Jangan riak dengan ibadat yang dilakukan. Ingat, haji bukan untuk menunjuk-nunjuk, bukan untuk mengejar gelaran atau mendabik dada bahawa kita berjaya menyelesaikan kesemua tuntutan Rukun Islam.

Berusahalah untuk membersihkan hati dan sentiasa ingatkan diri bahawa setiap amalan hanya kerana Allah dan untuk mengharapkan reda-Nya. Semoga haji mabrur menjadi milik semua jemaah. Insya-Allah.