Siti Nurfatihatul Afifah
Siti Nurfatihatul Afifah 

Sebaliknya beliau nekad mengambil Sijil Veterina Malaysia di bawah Institut Veterinar Malaysia selama dua tahun demi meraih gelaran usahawan penternakan arnab yang berjaya suatu ketika nanti.

Siti Nurfatihatul Afifah telah memulakan ternakan secara sambilan sejak awal tahun lalu dengan hanya tiga pasang arnab ketika masih bergelar pelajar Institut Veterinar Malaysia .

"Saya buat ternakan kecil-kecilan dulu sebab masih lagi belajar. Sejak bela sejak awal Januari lalu secara sambilan saya telah berjaya menjual 100 ekor arnab.

"Setiap seekor boleh dijual pada harga RM15. Kini saya masih berbaki 40 ekor arnab. Selepas tamat belajar saya berhasrat untuk mengembangkan ternakan ini secara besar-besaran," kata Siti Nurfatihatul Afifah yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan.

Siti Nurfatihatul Afifah dipilih sebagai pelajar paling cemerlang dari 1,274 graduan Institusi Latihan Pertanian (ILP) bagi tahun 2018 di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani hari ini.

Pada Majlis Konvokesyen Pertanian ke-8 yang barlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang itu, anak keempat daripada sembilan beradik tersebut menerima dua anugerah iaitu Anugarah Khas Pingat Emas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dan  Anugerah Khas Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar.

Jelas Siti Nurfatihatul Afifah yang mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.9 dan lulus latihan industri dengan cemerlang, beliau tidak langsung terkilan mengetepikan ijazah yang ada untuk bekerja dalam tempat yang selesa dan bergelar profesional.

"Bagi saya kalau tiada pertanian tiada orang boleh makan. Kalau tiada orang tanam padi mana hasil kita nak makan nasi? Kalau tiada orang menangkap ikan macam mana kita nak makan ikan? Pertanian adalah perniagaan.

"Industri pertanian ini sangat penting. Tahu tak kita import makanan dari luar sangat banyak? Jadi kita kena tingkatkan bekalan makanan kita. Ini sekaligus menggalakkan lagi ekonomi negara," kata anak kepada pasangan guru dan surirumah tersebut.

Justeru beliau tidak mahu menoleh ke belakang lagi dan tekad untuk menyertai bidang pertanian. Beliau yakin akan menjadi usahawan ternakan arnab satu ketika nanti.

Pada majlis tersebut empat pelajar turut menerima anugerah khas iaitu pelajar Sijil Pertanian Malaysia, Nurin Balqis Norazahar (Anugerah Khas Ketua Pengarah Pertanian); pelajar Sijil Perikanan, Aisamuddin Basir (Anugerah Khas Ketua Pengarah Perikanan).

Pelajar Sijil Kemahiran Malaysia, Luqman Nul Hakim Khairil Anwar (Anugerah Khas Pengarah Bahagian Latihanh Kemahiran Pertanian) dan pelajar Diploma Kemahiran Malaysia, Aizuddin Zainudin (Anugerah Khas Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani).

Anugerah tersebut diberikan kepada pelajar terbaik berdasarkan kecemerlangan keseluruhan iaitu pencapaian akademik yang tinggi, penglibatan kokurikulum yang aktif dan sumbangan yang releven kepada masyarakat.

Hadiah disampaikan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub.-UTUSAN ONLINE