Program selama lima hari bertemakan Huffaz Berbakti Membina Masyarakat Harmoni itu dianjurkan dengan kerjasama Institut Al-Quran Darul Aman (IQDA) dan Persatuan Kebajikan Maahad Tahfiz.

Objektif program adalah untuk menjalinkan hubungan antara huffaz dari 12 Maahad Tahfiz dengan masyarakat luar dan mendedahkan mereka mengenai asimilasi masyarakat.

Pada masa sama, menerusi program ini juga dapat memperkenal dan mempromosikan institusi pendidikan tahfiz Darul Quran kepada penduduk tempatan khususnya komuniti di Langkawi.

Untuk mencapai hasrat itu, pelbagai aktiviti diadakan antaranya program anak angkat, ceramah agama dikendalikan pegawai dan pelajar, kelas fikah ibadah lelaki dan wanita.

Aktiviti lain termasuklah program tahsin al-Fatihah bersama masyarakat, aktiviti halaqah al-Quran dengan keluarga angkat, program Smart Solat dan motivasi di sekolah-sekolah rendah dan menengah, sukan rakyat, pertandingan azan dan gubahan di Masjid Al-Falah.

Selain itu, pelajar turut didedahkan dengan kehidupan di Pulau Langkawi terutama dalam aspek penggunaan bot sebagai kenderaan awam yang utama di sana.

Acara kemuncak program diserikan dengan Malam Kesenian Islam yang merangkumi persembahan nasyid dan qasidah oleh pelajar manakala khatam al-Quran pula mengisi acara majlis penutup yang disempurnakan Pengarah Darul Quran Jakim, Dr. Nordin Ahmad.