Antara penerima ijazah adalah Profesor Dr. Antonio Fransesco Corno iaitu pakar perubatan yang pernah menyumbang kepada USM sebagai Pakar Pembedahan Jantung Pediatrik yang akan dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Sains Perubatan oleh Canselor USM Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

Naib Canselor USM Profesor Datuk Dr. Asma Ismail berkata, turut diraikan adalah bekas Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USM, Datuk Dr. Muhammad Idiris Salleh yang menerima anugerah Profesor Emeritus.

Jelasnya, sebanyak 2,043 graduan akan menerima Ijazah Tinggi (Ph.D dan Sarjana), 4,759 penerima Ijazah Sarjana Muda dan 48 penerima Diploma Kejururawatan.

“Kita juga meraikan penerima Hadiah Pingat Emas Canselor yang dianugerahkan kepada graduan Sarjana Muda Ilmu Pendidikan (Kepujian), Thong See Wai dan Anugerah Pingat USM Untuk Pelajar Kelainan Upaya yang diterima graduan Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan (Kepujian) Wan Muhammad Abdul Muhaimin Ab. Wahab.

“ Selain itu penerima anugerah lain adalah Nur Syahirah Ahmad Bastari (Anugerah Pelajaran Diraja Oleh Majlis Raja-raja Malaysia - kategori bumiputera); Chan Fung Han (Anugerah Pelajaran Diraja Oleh Majlis Raja-raja Malaysia - kategori bukan bumiputera) dan Mohamad Syafiq Kamaruddin (Anugerah Pingat Emas Naib Canselor)” katanya kepada pemberita di sini hari ini.- UTUSAN ONLINE