Pengasas Persatuan Seni Bela Diri Tae Kwan Do Malaysia, S. Edwin berkata, objektif utama penganjuran adalah untuk membantu dan melahirkan atlet bagi mewakili negara pada masa depan.

“Tae kwan do merupakan sukan seni mempertahankan diri yang mendapat sokongan hangat daripada peserta, ibu bapa serta masyarakat.

“Hari ini peserta terdiri daripada pelbagai kaum dan peringkat umur dari seluruh negara datang bertanding,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Yang hadir sama ialah Pengerusi Kelab Sukan dan Rekreasi Parlimen Kota Raja, Mohamad Khusyairi Abdul Aziz.

Edwin menambah, kejohanan tersebut melibatkan 200 sekolah termasuk pelajar sekolah menengah dan rendah daripada pelbagai kaum.

Katanya lagi, sukan tersebut mempunyai markah tersendiri untuk membolehkan pelajar memasuki pusat pengajian tinggi pada suatu hari nanti sebagai sebahagian kokurikulum.

“Apa yang menarik, tae kwan do bukan sahaja seni bela diri untuk bertempur tetapi membentuk disiplin dan jati diri pelajar. Ia juga menggalakkan mereka untuk bersaing di peringkat nasional seterusnya sasaran hingga antarabangsa.

“Kita berharap seni bela diri ini dapat mengukuhkan perpaduan antara rakyat kerana ia mementingkan semangat hormat menghormati dan kerjasama,” katanya. - UTUSAN ONLINE