Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr.Khair Mohamad Yusof berkata, seminar tersebut membantu guru-guru menggunakan kaedah terbaharu dalam mendapatkan maklumat pelajar dengan terperinci dan mencari satu pendekatan terbaik mendekati mereka.

“Selain itu guru-guru perlu memastikan pelajar mereka aktif berinteraksi di dalam bilik darjah bagi meningkatkan sahsiah diri mereka dalam usaha menstransformasikan pendidikan.

“Kita juga mahu memastikan bahawa ada interaksi dua hala antara pelajar dalam sesi pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPc) di dalam kelas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penutup Seminar PAK-21 di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Othman Mohamad; Penasihat Unit Pendidikankan Utusan Malaysia, Dr. Ismail Zain dan Pengurus dan Pengarang Unit Pendidikan Utusan Malaysia, Wahid Hashim.

Sementara itu, Ismail berkata, melalui seminar tersebut beliau memberi pendedahan kepada guru-guru bagaimana mengintegrasikan pendidikan abad ke-21.

“Para guru perlu mengetahui dengan jelas maklumat pelajar dalam memastikan proses PdPc berjalan lancar.

“Oleh itu satu Sistem Reka Bentuk Pengajaran Kolaboratif (CIDS) diwujudkan bagi memastikan interaksi antara guru dan pelajar menjadi lebih aktif bagi menggalakkan pemikiran kreatif serta kritis dalam kalangan pelajar,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE