Pengarah Eksekutifnya, Roslan Abd Ghani berkata, sebanyak 10,000 pelajar telah mendaftar sehingga hari ini dan jumlah itu dijangka meningkat apabila program jelajah diadakan di Kedah dan Johor.

“Program ini telah diberikan secara percuma kepada semua pelajar yang menghadapi peperiksaan bermula 1 September lalu hingga hujung tahun ini.

“Kita buka kepada semua pelajar yang menghadapi peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam membantu pelajar mengukuhkan kemahiran dan penguasaan konsep sesuatu subjek,” katanya ketika ditemui Utusan Online selepas Majlis Pelancaran Pecutan Akhir A+ Peringkat Kebangsaan di Sekolah Kebangaan Seri Permaisuri di sini hari ini.

Majlis itu dirasmikan Timbalan Menteri Pengangkutan merangkap Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Kamarudin Jaffar.

Menurut Roslan, beberapa perubahan sistem dalam program itu turut akan dibuat bagi memastikan kebolehcapaian pentaksiran talian itu dapat disampaikan kepada ibu bapa pelajar berkenaan.

Sementara itu, Kamarudin memberitahu, cetusan idea program A+ mampu membantu pembangunan institusi pendidikan negara dan wajar diteladani oleh badan dan syarikat korporat yang lain.

Katanya, inisiatif itu turut menyokong usaha kerajaan dalam menyediakan program yang pelbagai untuk pembangunan negara.

“Dunia pendidikan mengalami banyak perubahan dari masa ke semasa dan harus digunakan sepenuhnya bagu menguasai ilmu, kemahiran dan membina personaliti yang cemerlang,” ujarnya.

Dalam pada itu, Muhammad Ammar Rafael Rizalman, 12, memberitahu, pentaksiran talian itu membantunya mengenal pasti tahap prestasinya ketika ini dalam menghadapi UPSR hujung bulan ini.- UTUSAN ONLINE