Lima pelajar cemerlang tersebut adalah Wan Nasriyah Wan Nasri, 19; Aina Nazihah Anuar, 19; Izzah Atira Mohd Razali, 19; Maisarah Mohamad, 19, dan Amnina Mohd Asri,19.

Kesemuanya memperoleh gred Mumtaz dalam 10 subjek diambil iaitu Hifz Al-Quran dan Tajwid; Fiqh; Tauhid dan Mantiq; Tafsir dan Ulumuhu ; Hadith dan Mustolah; Nahu dan Sarf; Insya’ dan Mutalaah; Adab

dan Nusus; ‘Arudh dan Qafiyah serta Balaghah.

Menurut Pengetua sekolah itu, Mohd Mansor Daud, pencapaian tersebut adalah peningkatan daripada tahun lepas apabila hanya empat orang memperoleh 10 Mumtaz.

Beliau berkata, bilangan calon yang lulus juga meningkat iaitu sebanyak 125 orang atau 92.62 peratus daripada 135 calon berbanding 91.53 peratus tahun lalu.

“Selain lima pelajar yang mendapat 10 Mumtaz, kita juga amat bersyukur apabila enam orang mendapat 9 Mumtaz; tujuh orang (8 Mumtaz); lapan orang (7 Mumtaz) dan sembilan orang (6 Mumtaz).

“Kita turut memperoleh Gred Purata Sekolah (GPS) 2.28 iaitu tertinggi dari kalangan sekolah-sekolah Yayasan Islam Kelantan (YIK).

“Kejayaan ini adalah hasil daripada usaha para guru dan sokongan daripada ibu bapa terhadap segala program yang kita jalankan selain penambahbaikan yang kita buat setiap tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa majlis pengumuman keputusan STAM 2016 di sekolah itu di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE