Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berkata, lebih satu juta peminjam telah disenarai hitam sejak tahun 2000 namun 655,000 orang yang telah membuat bayaran dikeluarkan daripada senarai tersebut melalui kaedah biasa sebelum ini.

“Saya jangka semua urusan yang berkaitan akan dapat diselesaikan sebelum pertengahan Jun. Maka dengan itu saya percaya bahawa janji yang pertama berkaitan kementerian saya akan dapat kita kotakan,” katanya pada majlis penyerahan surat tawaran rasmi kemasukan ke institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) kepada calon lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2017, di sini hari ini.

Pakatan Harapan pada Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU-14) telah berjanji untuk memansuhkan dasar senarai hitam ke atas peminjam PTPTN dan menangguhkan pembayaran balik pinjaman PTPTN kepada semua peminjam yang bergaji kurang daripada RM4,000 sebulan.

Mengenai janji penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN kepada peminjam yang bergaji kurang daripada RM4,000 sebulan, Maszlee berkata, pihak kementerian memerlukan sedikit masa lagi untuk mencari jalan terbaik termasuk mekanisme pelaksanaan bagi menunaikan janji itu.

“Saya akan membuat pengumuman sewajarnya apabila tiba masanya nanti, sebelum berakhir tempoh 100 hari pertama (Pakatan Harapan menerajui Kerajaan Persekutuan),” katanya. - BERNAMA