Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Datuk Maimunah Suhaibul berkata, program TS25 yang dilaksanakan Kementerian Pendidikan pada 2015 telah menampakkan hasil dalam mewujudkan suasana pembelajaran bermakna kepada pelajar.

Menurut Maimunah, JPN Sabah sentiasa berusaha untuk memastikan sekolah-sekolah TS25 di negeri itu dapat meningkatkan kualiti pembelajaran dan pemudahcaraan dalam kalangan pelajar.

“Sebagai contoh, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandau, Kota Marudu yang telah melakar beberapa kejayaan di peringkat kebangsaan, membuktikan keberhasilan TS25 itu sendiri.

“Pada tahun lalu, SMK Bandau telah memperolehi kualiti pembelajaran dan pemudahcaraan berdasarkan pembelajaran korporatif serta mengusahakan ternakan burung puyuh melalui Pembudayaan Pembelajaran Asas Projek (PPAP),” katanya ketika berucap pada majlis Perutusan Tahun Baharu 2018 Jabatan Pendidikan Negeri Sabah di Auditorium Kompleks Kerajaan Persekutuan Sabah di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Timbalannya, Datuk Dr. Mohd. Kassim Mohd. Ibrahim dan Ketua Sektor Khidmat Pengurusan dan Pembangunan, Terry Henry.

Dalam perutusannya, Maimunah menyeru warga JPN Sabah agar menggembleng tenaga bagi mencapai integriti dalam perkhidmatan masing-masing.

Menurutnya, sekiranya kejayaan itu dapat dicapai sudah tentu usaha dalam melahirkan pelajar cemerlang mampu direalisasikan.

Maimunah menambah, dalam bidang pendidikan Sabah tidak lagi ketinggalan apabila menunjukkan prestasi membanggakan sejak 2013.-UTUSAN ONLINE