Mereka yang merupakan kalangan murid terpilih dari Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Jaya dan SK Meraga Beris diraikan dalam program Bantuan Awal Persekolahan (BAP) 2019 Eastern Pacific Industrial Corporation (EPIC) Berhad di bawah siri tanggungjawab sosial korporatnya.

Penyerahan bantuan yang meringankan bebanan kalangan ibu bapa kurang berkemampuan itu disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat di Pusat Beli Belah Mesra Mall, Kemasik, petang semalam.

Yang turut hadir, Pengurus Besar Perancangan Korporat, Pembangunan Komunikasi dan Projek Khas EPIC, Abdul Adzim Abd. Hamid dan Pengurus Kanan Pengkalan Bekalan Kemaman Supplies & Services (PBKSS) Hishamuddin Ramli.

Ketika berucap dalam majlis tersebut, Hanafiah berharap anak syarikat kerajaan negeri itu menambah peruntukan bagi tujuan yang sama pada masa depan, agar meliputi lebih ramai murid di kesemua empat kawasan Dewan Undangan Negeri.

“Hari ini hanya melibatkan sumbangan kepada murid dalam kawasan DUN

Air Putih dan Kijal. Jadi saya berharap dapat diperluaskan kepada kawasan DUN Cukai dan Kemasik,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE