Ia termasuklah 75 orang pelajar baharu yang menerimanya buat julung-julung kalinya setiap bulan bermula tahun ini.

Para pelajar terpilih tersebut akan diberikan wang sejumlah RM50 sebulan sehinggalah mereka tamat Tahun 6 nanti.

Perkara itu telah diperkenan oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berangkat merasmikan ‘Majlis Anugerah Biasiswa Kecil Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis Tahun 2019’ yang diadakan di Dewan Sekolah Kebangsaan Tambun Tulang, Arau baru-baru ini.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Pengarah Pendidikan Negeri Perlis, Izmi Ismail dan Setiausaha Kehormat YTSP Perlis, Datuk Johari Mohd Darus.

Turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis Azman Mohd Yusof dan Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Operasi Pendidikan) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Shaari Osman.

Program tahunan ini adalah anjuran YTSP Perlis dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri.

Baginda yang juga merangkap Pengerusi YTSP Perlis turut menambah bahawa inisiatif tersebut merupakan satu bentuk motivasi untuk membakar semangat pelajar agar terus berusaha dengan lebih gigih dan cemerlang di dalam pelajaran, selain membantu dan menyantuni pelajar yang datangnya daripada keluarga yang kurang berkemampuan dan diharap dapat mengubah nasib keluarga mereka suatu hari nanti.

"Insya-Allah, sedikit sebanyak dapat meringankan beban dan memanfaatkan para pelajar di negeri ini," titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berharap agar para pelajar yang menerima biasiswa kecil tersebut akan terus bersemangat untuk lebih berjaya lagi di dalam pelajaran dan mencapai impian yang dicita-citakan masing-masing.

Di majlis yang sama Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Pengerusi Yayasan Tuanku Syed Putra Perlis, berkenan menyerahkan sumbangan tahunan yayasan kepada ‘Tabung Pendidikan Negeri Perlis 2018’ berjumlah RM50,000 yang diterima oleh Bendahari Negeri Siti Mariam Mat Noh bagi pihak Kerajaan Negeri.

Baginda dan Tuanku Raja Puan Muda turut berkenan merasmikan ‘Bilik Sarana’ sekolah yang telah disumbangkan sepenuhnya oleh Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan. - UTUSAN ONLINE