Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Al-Irshad itu merupakan salah seorang daripada 33 pelajar sekolah tersebut yang memperoleh 11A selain 15 lagi mendapat 10A daripada 182 calon.

Anak bongsu daripada empat beradik itu mengakui semangat yang kuat serta tidak mudah putus asa menjadi rahsia kejayaannya sekali gus turut mengharumkan nama sekolah.

“Dorongan ibu bapa adalah pemangkin semangat kepada saya untuk belajar dengan tekun serta mencapai kejayaan cemerlang hari ini untuk mengikut jejak langkah abang dan kakak.

“Biarpun bekerja sebagai petani, bapa saya Mohd. Razikin Ramli sentiasa memberi galakan ketika saya mengulang kaji pelajaran serta tidak putus-putus berdoa terutama menjelang peperiksaan,” katanya selepas menerima sijil keputusan yang disampaikan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru, Shariful Azhar Othman.

Sementara itu, bagi Muhammad Amzar Saufi Muhammad Sazri, kejayaan abang dan dua kakaknya melanjutkan pengajian ke menara gading mendorongnya meraih 11A.

Jelas anak bongsu daripada empat beradik itu, dia sendiri tidak menyangka akan mendapat keputusan cemerlang tersebut namun berbangga kerana dapat menggembirakan bapa, Muhammad Sazri Khamis dan ibu, Azani Ismail.

“Saya menjadikan kejayaan seorang abang dan dua kakak mejejakkan kaki ke universiti sebagai pendorong utama untuk mencapai keputusan ini.

“Apa pun terima kasih juga kepada guru-guru di SMKA Al-Irshad yang banyak membantu dan keputusan ini adalah satu langkah penting untuk mencipta kejayaan pada masa akan datang," ujarnya.

Dalam pada itu, Pengetua SMKA Al Irshad, Abd. Razak Osman berkata, biarpun Gred Purata Sekolah (GPS) menurun 0.01 peratus kepada 1.31 tahun ini berbanding 1.30 tahun lalu namun beliau berpuas hati dengan kejayaan yang ditunjukkan pelajarnya.

“Secara dasarnya, saya amat berpuas hati dengan keputusan yang dicapai ini biarpun GPS sedikit menurun tetapi ternyata pelajar dan guru-guru telah lakukan yang terbaik demi menaikkan nama sekolah,” katanya.