Menterinya, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, penutupan itu disebabkan pelbagai faktor termasuk melanggar peraturan yang ditetapkan oleh kementerian.

Kata beliau, antara punca penutupan kolej swasta itu disebabkan oleh kekurangan pelajar dan pensyarah, tidak menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran, tempoh pendaftaran kolej telah tamat dan tidak beroperasi.

"Ini merupakan proses yang berterusan. Apabila kita melihat mereka tidak beroperasi atau melanggar syarat yang ditetapkan, kita bertindak menutup kolej berkenaan.

"Memang tahun ini banyak kolej ditutup jika dibandingkan dengan tahun lalu memandangkan pihak kolej kini perlu mengemukakan data mereka secara atas talian selain pelaksanaan Akta Institusi Pengajian Tinggi Swasta (Akta 555) yang mula dikuatkuasakan sejak bulan lalu," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar Majlis Penarafan Sistem Penilaian Kualiti Kolej Swasta Malaysia (MyQUEST), di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mary Yap Kain Ching dan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Tan Sri Dr. Noorul Ainur Mohd Nur.

Dalam majlis itu, sebanyak 15 kolej swasta di negara ini menerima penarafan enam bintang menerusi MyQUEST.

Antara kolej swasta yang menerima pengiktirafan itu adalah German Malaysian Institute (GMI), Kolej Kesihatan Ramsay Sime Darby, Kolej Poly-Tech Mara Bangi, Kolej Management and Science University (MSU) Shah Alam dan Kolej Sunway. - UTUSAN ONLINE.