Majlis yang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor itu juga sebagai satu platform untuk mengeratkan silaturrahim di antara seluruh warga USIM dan pihak industri luar di Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 1439H.

Majlis yang bermula pada jam 10.00 pagi itu merupakan anjuran bersama Badan Kebajikan Kakitangan (BKK) USIM, Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (PRAGMATIS), Persatuan Kakitangan Akademik (PKAUSIM) dan Kesatuan Kakitangan Sokongan (KUSIMA).

Sebanyak 25 gerai dengan 50 juadah bertemakan makanan tradisi Hari Raya, menu Barat dan Timur Tengah serta kuih-muih dihidangkan buat para tetamu.

Menurut Pengerusi BKK USIM, Muin Yahya, gerai-gerai yang disediakan ini menyajikan menu yang berbeza dan diterajui oleh pelbagai jabatan-jabatan yang ada di USIM.

“Setiap tahun sememangnya setiap jabatan kita pastikan akan berpeluang menyajikan menu yang berbeza dari tahun sebelumnya kerana disitu nanti kita akan dapat rasai keunikan rasa dan persembahan hiasan gerai yang mereka tonjolkan.

“Saya melahirkan rasa bangga dengan inisiatif kakitangan setiap jabatan ini yang bukan sahaja bertungkus lumus menyediakan juadah, tapi turut mempersiapkan gerai mereka dengan hiasan yang menarik kerana kita turut menyediakan anugerah khas untuk gerai-gerai ini,” katanya.

Antara juadah tradisi yang disediakan adalah lemang, ketupat, rendang, nasi dagang, murtabak, roti jala, laksa dan mi kari.

Menu istimewa yang mendapat sambutan ialah Nasi Arab, shawarma, kebab, pizza dan spageti.

Sementara itu, Naib Canselor USIM, Prof. Datuk Dr. Musa Ahmad berkata, kesungguhan yang ditunjukkan kakitangan dan warga USIM dalam sambutan hari ini amat membanggakan.

“Saya berpeluang untuk melawat setiap gerai yang terdapat di sini dan amat memuji kesungguhan para kakitangan menjadikan majlis hari ini bermakna. Saya turut gembira kerana dapat melihat nyanyian marhaban dari anak-anak kecil Sekolah Rendah Islam Integrasi Tahfiz Darul Ulum Cawangan Nilai yang dipersembahkan kepada para tetamu yang hadir. Ini kelainan baharu yang ditonjolkan oleh peganjur pada tahun ini,” katanya.

Pada majlis tersebut, turut disampaikan sumbangan Aidilfitri kepada kakitangan yang bertugas semasa Hari Raya Aidilfitri lalu disamping penyampaian hadiah untuk pertandingan Gerai Kelestarian Alam (Go-Green); Gerai Inovatif dan Kreatif; dan Gerai Popular dan Ceria. Turut diadakan adalah pameran gerai jualan di lobi dewan dan cabutan bertuah.

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Profesor Tan Sri Datuk Dzulkifli Abdul Razak, Timbalan-timbalan Naib Canselor dan Pengurusan Kanan universiti. - UTUSAN ONLINE