Program kali pertama seumpamanya dikendalikan oleh syarikat pengendali pendidikan, Tutordotcom Solution Sdn. Bhd. itu membantu kumpulan pelajar berkenaan untuk menjawab soalan seperti peperiksaan sebenar dengan membuat latih tubi yang turut boleh diakses melalui aplikasi telefon pintar masing-masing.

Menurut Pengarah Eksekutif syarikat itu, Roslan Abd. Ghani, bentuk pembelajaran dalam talian seperti itu dilihat lebih mudah dan diminati pelajar-pelajar yang gemar menggunakan teknologi dalam aktiviti mereka sekali gus menjadi peluru terakhir mereka untuk menghadapi SPM dalam tempoh 11 hari lagi.

“Modul Pecutan A+ ini memberikan latih tubi secara berulang bagi menokok kemahiran, memperkuatkan daya ingatan dan menghurai ketidakfahaman sesuatu topik pelajar-pelajar,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis itu di MTD Kem Perdana Sungai Besi di sini hari ini.

Hadir sama Komandan MTD, Brigedier Jeneral Abdul Halim Abu Hassan; Pengarah Pengajiannya, Razmi Abdul Razak dan Pengarah Latihan MTD, Mejar Nor Faisham Mohd. Noor. - UTUSAN ONLINE