Pengarah Program, Nurhasyimah Mohd Salleh berkata, pengetahuan dan pendedahan yang diberikan kepada golongan OKU ini diharap dapat meningkatkan kesedaran serta keprihatinan mereka sekali gus melahirkan individu yang mempunyai tingkah laku lebih positif terhadap alam sekitar.

“Dalam program ini, golongan OKU diberitahu punca-punca pencemaran alam sekitar, dijelaskan cara-cara memelihara alam sekitar dan dibimbing membuat inovasi bahan kitar semula,” katanya dalam satu kenyataan menerusi e-mel baru-baru ini.

Program bertemakan Kelestarian Alam Sekitar ini dianjurkan oleh penuntut Kolaborasi dan Konsultasi Dalam Pendidikan Khas, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama Pusat Pemulihan Dalam Komuniti Nanding, Petrosains dan sukarelawan bekas pelajar Sekolah Menengah Sri Al Amin, Bangi, Sela­ngor.

Program ini disertai 23 pelatih Pusat Pemulihan Dalam Komuniti Nanding, enam petugas PDK Nanding, 14 ibu bapa pelatih dan empat sukarelawan.