Menteri mentor program tersebut, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, hampir 36,000 lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) serta lepasan Pengajian Asasi di seluruh negara telah mengikuti program tersebut.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata, kursus yang menjadi pilihan ialah berasaskan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di institusi seperti GiatMara, Kolej Universiti Poly-Tech MARA (KUPTM), Institut Kemahiran Mara (IKM), Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) dan Kolej Komuniti.

“Saya ingin menarik perhatian bahawa lebih daripada 37,000 golongan Melayu bumiputera telah berjaya diselamatkan dan diberi peluang kedua semasa JPB 2016.

“JPB merupakan inisiatif dan projek khas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam menyediakan peluang kedua kepada golongan Melayu bumiputera yang miskin dan kurang berkemampuan serta kurang bernasib baik untuk me­lanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi dan institut kemahiran di seluruh negara,” katanya dalam majlis perasmian JPB 2017 peringkat Negeri Sembilan di sini hari ini.

Majlis perasmian jelajah anjuran Gerakan Pendidikan Bumiputera Malaysia, Yayasan Destini Anak Bangsa (YDAB) dan Koprojaya itu disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Induk Jelajah Pendidikan Bumiputera, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Sahol Hamid Abu Bakar dan Penaung Yayasan Almas, Datuk Seri Tengku Kamarulzaman Sultan Abu Bakar.

Negeri Sembilan adalah ne­geri keempat program itu diadakan dengan Seremban adalah kawasan Parlimen ke-15 menjadi lokasi persinggahan jelajah berkenaan yang telah dilancarkan oleh Najib pada 21 Mac lalu.

Tahun ini, JPB 2017 melibatkan sebanyak 13 rakan strategik, 18 universiti awam serta 100 orang sekretariat jelajah yang akan menjelajah ke seluruh negara membabitkan 57 kawasan Parlimen.

Sementara itu, Mohamad memberitahu, lebih 2,000 calon telah berjaya mendapat tawaran atau layak untuk diberi surat tawaran dalam program jelajah hari ini.

Katanya, kerajaan negeri menyokong penuh program tersebut yang telah memasuki tahun kelima penganjurannya.

“Mana-mana pelajar yang mendapat tawaran tetapi menghadapi masalah kewangan boleh memohon kepada Yayasan Negeri Sembilan bagi mendapatkan kemudahan wang pendahuluan,” katanya.