Majlis penutup program tersebut berlangsung di Dewan Taming Sari kampus tersebut dan disempurnakan oleh Rektor UiTM cawangan Melaka, Datuk Prof. Madya Sabariah Mahat.

Kesemua pelajar adalah sebahagian daripada 146,043 pelajar yang sedang belajar di UiTM iaitu universiti yang terbesar di dunia.

“UiTM kini mempunyai 35 buah kampus, 17,792 staf dan 508 program ditawarkan di seluruh sistem di Malaysia.

“Di Melaka sahaja UiTM kini mempunyai lebih 14,000 pelajar di tiga kampus iaitu Alor Gajah, Jasin dan Bandar Raya Melaka dan semua pelajar ini akan membawa jenama UiTM yang positif,” katanya ketika berucap merasmikan penutup program itu sebentar tadi.

Yang turut hadir, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar, Ahmad Khairuman Md. Hasim; Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik, Prof. Madya Dr. Ismadi Md. Badarudin serta ahli Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Negeri dan Ketua-ketua pusat pengajian.

Enam fakulti yang disediakan di kampus Alor Gajah adalah Fakulti Perakaunan; Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka; Fakulti Pengurusan dan Perniagaan; Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan; Akademi Pengajian Bahasa serta Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media.

Sabariah turut menyeru semua pelajar baharu di kampus itu melaksanakan tugas masing-masing untuk mencipta kejayaan di universiti ini yang menjadi pilihan mereka.

“UiTM menyediakan bukan setakat peluang pembelajaran, malah turut menyediakan peluang kepada pelajar untuk memahirkan diri masing-masing serta menceburi pelbagai kegiatan luar yang berfaedah.

“Untuk itu saya rasa pelajar baharu tidak ada masa untuk terlibat dalam kegiatan yang tidak sihat dan mereka perlulah merebut peluang memberi fokus dalam pendidikan seterusnya menjadi pelajar cemerlang dalam tempoh dua tahun akan datang,” katanya. - UTUSAN ONLINE