Pengerusi Jawatankuasa Ber­tindak Pendidikan dan Kesihatan negeri, Datuk Shamsulkahar Mohd. Deli berkata, maklum balas yang diterimanya mendapati penggunaan Tutor di sekolah-sekolah di Kuala Pilah sejak setahun lalu berjaya melonjakkan keputusan daerah itu dalam peperiksaan utama.

Katanya, ini kerana konsep Tutor memberi tumpuan kepada subjek-subjek teras serta mengetengahkan soalan serta latihan yang menepati sukatan pelajaran dan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT).

“Penggunaan Tutor sebagai nilai tambah dalam pembelajaran telah dapat menyediakan pelajar untuk bersedia dengan pelbagai bentuk soalan semasa peperiksaan,” katanya.

Beliau yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serting berkata demikian selepas merasmikan pelancaran Produk Pen­didikan Tutor di Dewan Seko­lah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Serting di sini hari ini.

Pada majlis itu, beliau turut menyerahkan tajaan akhbar Tutor sebanyak 18,900 naskhah kepada 13 sekolah di DUN Serting, melibatkan lapan sekolah rendah dan lima sekolah menengah.

Yang turut hadir Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Jempol dan Jelebu, Anuar Nordin; Ketua Unit Pendi­dikan Jabatan Pemasaran Utusan Malaysia, Azharudin Awang Long dan Pengetua SMK Bandar Baru Ser­ting, Norazam Nayan.

Menurut Shamsulkahar, beliau bercadang untuk memperluaskan penggunaan akhbar Tutor ke seluruh negeri ini dan akan berbincang dengan beberapa pihak yang berkaitan berhubung perkara itu.

Ujarnya, kerajaan negeri sentiasa mengamalkan sikap terbuka dalam memastikan kualiti pendidikan di negeri dapat terus dipertingkatkan.

Mengulas tajaan Tutor untuk DUN Serting, beliau berkata, kesemua 13 sekolah terpilih akan menerima 30 naskhah akhbar itu selama 35 minggu bermula pada bulan ini sehingga Oktober depan.