Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Pembangunan Profesionalisme Keguruan), Dr. Zainal Aalam Hassan berkata, jumlah kehadiran itu yang tidak terma­suk penganjuran di negeri ini adalah di luar jangkaan.

“Kaedah bersemuka dengan pihak di peringkat akar umbi wajar dijadikan amalan seperti disarankan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam merangka dasar baharu negara daripada rakyat kepada kerajaan melalui pelan Transformasi Nasional 2050 (TN50).

“Kementerian mengalu-alukan pandangan rakyat bagi membantu menyediakan generasi muda yang dapat menghadapi cabaran abad ke-21 dan bersedia merealisasikan aspirasi negara menjelang 2050,” katanya ketika merasmikan Jelajah Pendidikan 2017 di Dewan Konvensyen Sultan Ahmad Shah, di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pengarah De­wan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Adzis Abas; Pengarah Komunikasi Korporat Ke­menterian Pendidikan, Hazran Mohamad dan Pe­ngarah Pendidikan negeri, Datuk Rosdi Ismail.

Zainal Aalam berkata, Pahang merupakan negeri ke-11 penganjuran program Jelajah Pendidikan sebelum berakhir pada bulan depan di Pulau Pinang.

Beliau berkata, berteraskan slogan ‘Menerajui Perubahan’, program jelajah itu memberi fokus kepada memaparkan kejayaan kementerian, murid dan pelajar yang bersedia berdepan cabaran global untuk mencapai enam aspirasi digariskan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2015.

“Kementerian menyediakan kurikulum yang diselaraskan dengan standard antarabangsa, pentaksiran yang holistik, guru dan pentadbir berkua­liti serta akses kepada pelbagai laluan Pendidikan Abad Ke-21 dengan kerjasama ibu bapa, komuniti serta sektor swasta.

“Selama dua hari bermula hari ini, masyarakat di negeri ini khususnya di Pekan disajikan dengan kejayaan pelaksanaan transformasi pendidikan negara di bawah PPPM 2013-2025,” katanya.