Pengarah Jabatan Pendidikan Selangor, Mohd. Salleh Mohd. Kassim berkata, kemudahan mo­den yang disediakan di dalam bilik darjah di bawah program Kelas Pintar PAK-21 ini dapat menarik minat dan tumpuan murid terhadap pengajaran guru sekali gus membantu meningkatkan prestasi akademik mereka.

“Menerusi program ini, murid diberi pendedahan mengenai penggunaan teknologi terkini dan pendidikan berkonsepkan inovatif,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Kelas Pintar PAK-21 di Sekolah Kebangsaan (SK) Telok Gong, Klang, Selangor, baru-baru ini.

Sembilan sekolah lagi yang menjadi perintis program tajaan Yayasan Hai-O ini ialah SK Tengku Bendahara Azman, SK Rantau Panjang, SK Kampung Raja Uda, SK Batu Belah, SK Pandamaran Jaya, SK Pelabuhan Utara, SK Kapar, SK Abdul Samad dan SK Klang.

Di bawah program ini, kelas terbabit dilengkapi dengan papan mengajar pintar, kerusi meja canggih dan komputer riba.