Kes SRC: Pendakwaan gagal buktikan Najib pecah amanah

SRC International: Pendakwaan gagal buktikan Najib pecah amanah

NAJIB Razak tiba di pekarangan mahkamah bagi mendengar rayuan sabitan dan hukuman penjara terhadap beliau berhubung penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd. di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya hari ini. - FOTO/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pihak pendakwaan gagal membuktikan bahawa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah melakukan pecah amanah terhadap dana syarikat SRC International Sdn. Bhd. berjumlah RM42 juta.

Menurut peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, pihak pendakwaan juga gagal menunjukkan bahawa wang RM42 juta yang didepositkan ke dalam akaun Ahli Parlimen Pekan itu adalah wang daripada syarikat terbabit.

“Menurut pertuduhan pecah amanah, Najib sebagai seorang penjawat awam dan ejen iaitu Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia, Penasihat Emeritus SRC International telah diamanahkan dengan penguasaan ke atas wang milik SRC berjumlah RM4 bilion, telah melakukan pecah amanah jenayah terhadap wang sejumlah RM42 juta.

“Bagaimanapun, pihak pendakwaan gagal menunjukkan penguasaan penuh Najib terhadap wang tersebut. Tiada saksi hadir memberi keterangan dari mana wang RM42 juta itu datang. Oleh kerana pendakwaan gagal menunjukkan penguasaan Najib terhadap wang tersebut, siapa yang memberikan arahan untuk mengeluarkan wang, kes pihak pendakwaan telah hancur,” katanya.

Selain itu, Muhammad Shafee mengumpamakan kes terhadap anak guamnya adalah kes ‘marahkan nyamuk bakar kelambu’.

“Anak guam saya didakwa telah mengambil RM42 juta daripada RM4 bilion dana Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) yang dimasukkan ke dalam SRC International. Ahli Lembaga Pengarah SRC International sendiri tidak mengetahui apa yang berlaku dengan wang sebanyak RM4 bilion yang diperolehi daripada KWAP, jadi bagaimana anak guam saya yang merupakan Penasihat Emeritus perlu tahu mengenai wang tersebut,” hujah peguam itu.

Peguam terbabit berhujah demikian pada hari kedua rayuan Najib terhadap sabitan salah dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dikenakan terhadapnya selepas didapati bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan dana syarikat SRC International berjumlah RM42 juta.

Tujuh pertuduhan yang dikenakan terhadap Ahli Parlimen Pekan itu ialah tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalahgunakan kuasa melibatkan dana syarikat itu. SRC International merupakan syarikat subsidiari 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Berhujah lebih lanjut, Muhammad Shafee menyatakan, saksi pendakwaan ke-42, bekas Pengarah SRC International, Datuk Suboh Md. Yasin telah memberikan keterangan yang bercanggah pada perbicaraan kes itu.

Ujarnya, Suboh telah memberikan lima keterangan bercanggah kepada SPRM yang mana keterangan lelaki terbabit berhubung sama ada beliau ada menandatangai sebarang surat transaksi sering berbolak balik.

“Suboh dalam keterangannya menyatakan sebarang arahan yang diterima daripada bekas Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu, Nik Faisal Ariff Kamil adalah arahan daripada Najib. Keterangan itu tidak boleh diterima pakai. Suboh tidak pernah menyatakan perkara itu sewaktu memberi keterangan kepada SPRM.

“Sekiranya, mahkamah mengambil kira keterangan Suboh maka kita boleh percaya lembu boleh melompat melepasi bulan,” katanya.

Rayuan yang didengar oleh panel tiga hakim yang diketuai Datuk Abdul Karim Abdul Karim yang bersidang bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera bersambung esok. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya