Menteri kena jelaskan kos perjanjian Pfizer - Ku Li - Utusan Malaysia

Menteri kena jelaskan kos perjanjian Pfizer – Ku Li

TENGKU RAZALEIGH HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Menteri yang bertanggungjawab dalam urusan perolehan vaksin Covid-19 harus menjelaskan harga dan anggaran kos yang terlibat dalam perjanjian dengan firma Pfizer.

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, berdasarkan jumlah peruntukan RM3 bilion untuk tujuan itu, ia hanya dapat memberi manfaat kepada hanya 20 peratus penduduk negara ini.

Beliau berkata, ini kerana perjanjian itu dikhabarkan menelan perbelanjaan kerajaan lebih daripada RM2 bilion hanya untuk pembelian vaksin.

“Kos untuk kemudahan penyimpanan dan pengedaran khas yang diperlukan untuk menjaga penyejukan vaksin pada suhu -80 darjah Celsius boleh menelan belanja RM1 bilion lagi.

“Dengan peruntukan RM3 bilion untuk perolehan vaksin bagi seluruh negara, perjanjian Pfizer yang hanya meliputi 20 peratus penduduk, nampaknya telah menghabiskan seluruh peruntukan tersebut.

“Mungkin menteri yang bertanggungjawab dalam pemerolehan vaksin harus menjelaskan harga dan anggaran kos yang terlibat dalam perjanjian Pfizer,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, peruntukan RM3 bilion yang diunjurkan untuk membiayai perolehan vaksin Covid-19, seawal suku pertama tahun depan akan dimasukkan dalam perbelanjaan khas.

Katanya, keperluan untuk mendapatkan penawar wabak berkenaan akan diperuntukkan dalam Kumpulan Wang Covid-19 dan jumlah RM3 bilion itu hanyalah berupa anggaran.

Dalam pada itu, berhubung soal keselamatan vaksin, Tengku Razaleigh berkata, sekiranya kerajaan enggan mempertimbang atau mengkaji semula perjanjian Pfizer, anggota Kabinet dan pegawai kanan yang sihat daripada segi perubatan, harus diberikan vaksin ini terlebih dahulu sebelum memberikannya kepada rakyat.

“Saya juga ingin mencadangkan bahawa wakil perubatan, penganalisis kesihatan, penulis dan akademik yang sangat menyokong perjanjian Pfizer ini juga harus diberi mandat untuk diberikan vaksin ini terlebih dahulu.

“Saya tidak mengatakan bahawa Pfizer tidak akan melakukan yang terbaik untuk keselamatan. Tetapi, bagaimana mereka atau sesiapa sahaja boleh menjamin keselamatan melalui penggunaan teknologi baru dan gerak kerja yang terlalu cepat,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya