Presiden KRM, Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata, saranan itu boleh dimajukan kepada Ragbi Asia atau Ragbi Dunia memandangkan Kejohanan 7’s MCKK yang diperkenalkan pada 2011 sudah menarik penyertaan banyak pasukan remaja negara gergasi ragbi seperti New Zealand, Australia dan Afrika Selatan serta Jepun.

“Kejohanan MCKK ini sudah ternama malah dianggap satu daripada kejohanan yang melahirkan bakat baharu ragbi remaja negara sehingga Malaysia menjuarai Kejohanan Bawah 18 Tahun Asia, Disember tahun lalu,” katanya pada sidang akhbar kejohanan itu di Wisma MCOBA di sini hari ini.

Menurutnya, Kejohanan Tujuh Sebelah Sekolah-sekolah Dunia tidak menawarkan pusingan kelayakan untuk disertai malah ketika ini hanya sejumlah pasukan ragbi remaja negara terbaik dan tertentu yang dipilih mengambil bahagian.

“Mungkin kita boleh cari jalan yang kreatif atau ambil model macam Kejohanan Tujuh Sebelah Hong Kong yang jadi pusingan kelayakan Kejohanan Tujuh Sebelah Dunia tahun berikutnya (diterapkan kepada MCKK 7’s),” katanya.

Shahrul menambah, kejohanan antara pasukan terbaik ragbi sekolah Malaysia ini juga menjadi sebahagian proses pengecaman bakat di bawah Program Pembangunan Ragbi Negara dengan KRM sentiasa menghantar jurulatih peninjaunya pada setiap edisi.

Edisi kesembilan MCKK 7’s dari 1 hingga 3 Mac ini di kolej berkenaan bakal disertai 22 sekolah dari seluruh negara termasuk juara bertahan, Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Mersing, Johor selain dua pasukan luar negara iaitu Akademi Shizuoka Seiko (Jepun) dan Akademi Ragbi Agoal (Sri Lanka).

Turut beraksi ialah juara empat kali, Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail, Bandar Penawar, Johor yang kalah tipis 12-14 dalam perlawanan akhir tahun lalu di samping Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu yang membuat penampilan sulung.

Tuan rumah, MCKK turut pernah bergelar juara pada 2013 manakala Kolej Scots New Zealand dan Sekolah Sukan Hong Kong muncul dua pasukan antarabangsa yang menjuarainya pada 2014 dan 2015.

Presiden Persatuan Bekas Pelajar MCKK (MCOBA), Tunku Datuk Ahmad Burhanuddin Tunku Adnan berkata, “kami kekal seperti edisi-edisi terdahulu untuk tidak menawarkan hadiah wang tunai sebaliknya mahukan pasukan-pasukan tetap memburu gelaran trofi NJ Ryan sebagai pengiktirafan.”