Skuad kendalian Addie Azwan Zainal itu berada di depan seawal minit ketiga menerusi jaringan Hanis Farhana Shamsul Azizan sebelum Zur’ain Kamarudin menggandakan jaringan seminit kemudian.

Pemain Felda United, Siti Asnidah Zamri meledak gol ketiga negara pada minit ke-18 sebelum Shazreen Munazli dan Siti Nur Atiqah Rashid meledak dua gol dalam tempoh seminit pada minit ke-19.

Gawang Bangladesh terus dirobek oleh pemain negara apabila giliran Intan Sarah Anisah Zulgafli meledak gol keenam pada minit ke-22 sebelum Shazreen menjaringkan gol ketujuh Malaysia pada minit ke-40.

Gol saguhati Bangladesh diperoleh hasil jaringan Mosammat Sirat Jahan Shopna pada minit ke-3.

Mengulas lanjut mengenai perlawanan tersebut, Addie berkata dia masih belum berpuas hati dengan persembahan yang dipamerkan oleh anak-anak buahnya.

“Daripada segi jumlah jaringan saya berpuas hati cuma daripada segi persembahan saya tidak berpuas hati kerana pemain kelihatan terlalu yakin ketika menentang Bangladesh. Sudah tentu kita tidak boleh ambil mudah terhadap Taiwan. Kami perlu menang untuk aksi kedua untuk mengesahkan tiket ke suku akhir lebih awal,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Selepas ini Malaysia akan menentang Taiwan di venue yang sama pada Jumaat ini. - UTUSAN ONLINE