Kekalahan tersebut menyaksikan anak-anak buah Chiew Chun Yong kini terpaksa menunggu aksi terakhir Kumpulan A menentang Bahrain, Isnin ini untuk menentukan nasib mereka dalam kejohanan itu.

Biarpun gagal menyaingi Taiwan, namun Malaysia yang mengalahkan Vietnam 2-1 dalam aksi pembukaan semalam menunjukkan semangat juang tinggi dan cuba melakukan kebangkitan tetapi dihukum oleh jaringan Lin Chih-Hung.

Taiwan mendahului 3-0 menerusi Lai Ming-Hui (minit kelapan), Chih-Hung (13) dan Chi Shang-Fa (21), namun pasukan negara berjaya merapatkan kedudukan 1-3 menerusi Azwan Ismail pada minit ke-27.

Ketika Malaysia, yang berkedudukan ranking ke-53 dunia cuba melakukan kebangkitan, Chih-Hung menyentap semangat pemain negara dengan menjadikan kedudukan 4-1 pada minit ke-32.

Begitupun keinginan untuk mencari kemenangan menyaksikan Malaysia melakukan kebangkitan hebat dengan menyamakan kedudukan 4-4 menerusi dua jaringan Awalluddin Mat Nawi (minit ke-33 dan 36), selain Khairul Effendy Bahrin pada minit ke-38.

Malangnya, hasrat untuk sekurang-kurangnya berkongsi satu mata dinafikan oleh Chih-Hung pada minit ke-39.

Menurut Chun Yong, pemainnya gagal mempamer aksi terbaik berbanding ketika bertemu Vietnam, selain melakukan beberapa kesilapan hingga dihukum oleh pasukan yang hanya menghuni ranking ke-79 dunia, Taiwan.

“Kami kalah dengan jumlah jaringan tipis tetapi saya mengakui pasukan saya gagal beraksi dengan baik dan saya dapat lihat Taiwan sangat disiplin dalam bertahan dan menyerang sehingga dapat menjaringkan tiga gol awal.

“Ini adalah kelemahan yang saya lihat harus diperbaiki menjelang perlawanan seterusnya bertemu Bahrain, termasuk kelekaan pada minit terakhir yang menyebabkan kita tewas.

“Kini peluang untuk semua pasukan ke suku akhir kembali terbuka dan saya percaya semua pasukan dalam kumpulan ini akan bersaing merebut tempat,” katanya yang dipetik dalam laman web AFC. - UTUSAN ONLINE