Skuad MDT yang menerima sambutan hangat sebaik sahaja tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam menutup kejohanan dengan membawa pulang anugerah Fair Play (Permainan Bersih), selain Kasut Emas (penjaring terbanyak) yang dimenangi Mak Chee Weng.

Presiden dan Setiausaha Agong MSDeaf, Ong Shin Rueen serta Kamarzaman Harun mengetuai sambutan kepulangan skuad MDT bersama kain rentang ‘Selamat Pulang Wira-Wira Pekak Negara’.

Malaysia menamatkan saingan di tangga kelima, namun dua anugerah yang diterima dalam penyertaan sulung tetap membanggakan.

Dalam kejohanan yang berakhir Sabtu lalu, pasukan negara dihadiahkan anugerah Permainan Bersih selepas mempamer disiplin terbaik dengan hanya menerima lima kad kuning dan tiada sebarang kad merah sepanjang lima perlawanan yang diharungi.

Malaysia mencatat dua kemenangan dalam Kumpulan A denganmenumpaskan Indonesia 6-1 dan Mongolia 24-4, sebelum kalah 3-5 kepada Khazakstan 3-5 dan 3-6 di tangan Thailand.

Mereka kemudian menumpaskan China 13-8 dalam penentuan tempat kelima.

Kapten MDT, Chee Weng dinobat sebagai penerima Kasut emas selepas meledak 22 gol, mengetepikan cabaran penyerang tuan rumah, Deenonod Nonthawat yang menjaringkan 19 gol.

“Saya tidak sangka akan meraih anugerah Kasut Emas dan sangat bersyukur.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih khasnya kepada jurulatih dan pengurus serta rakan sepasukan yang telah bekerja sama sepanjang kejohanan berlangsung. Tidak lupa juga kepada MSDeaf yang banyak memberi peluang kepada saya untuk sampai ke tahap ini,” kata Chee Weng, yang merupakan pemain futsal Sukan Malaysia Perak. - UTUSAN ONLINE