Zazai berkata, misi serampang dua mata yang dimaksudkan itu ialah meraih kemenangan dan memburu jaringan peribadi sulung bersama TRW musim ini.

"Saya akui berdepan UKM FC bukan satu tugas yang mudah, namun jika rakan-rakan sepasukan bekerja keras tidak mustahil kita mampu meraih kemenangan pertama musim ini.

"Selepas mengharungi dua perlawanan sebelum ini, saya sudah mula serasi dengan rakan-rakan sepasukan yang lain.

"Insya-Allah dengan UKM, saya akan memberikan aksi terbaik bagi memastikan tiga mata menjadi milik Kelantan," katanya.

Zazai memberitahu, Kelantan perlu menang keatas UKM FC untuk memperbaiki kedudukan dalam carta liga.

Katanya, kemenangan itu secara tidak langsung menjadi pemangkin untuk beraksi lebih baik pada perlawanan akan datang.

"Saya harap rakan-rakan sepasukan dapat memberikan aksi terbaik pada pertemuan dengan UKM FC dan mencuri tiga mata untuk dibawa pulang ke Kota Bharu," ujarnya. - UTUSAN ONLINE