Kesemua pasukan tersebut yang berdepan masalah tunggakan gaji itu diberi tempoh 48 jam berkuatkuasa hari ini untuk menghantar dokumen tambahan kepada MFL.

 

Pegawai Pematuhan MFL, Desmond Dominic Raju berkata, selepas meneliti kesemua dokumen yang dihantar oleh tujuh pasukan semalam, pihaknya mendapati mereka masih memerlukan maklumat tambahan untuk menyokong laporan kewangan masing-masing.

“Selepas kesemua dokumen yang dikemukakan oleh tujuh pasukan berkenaan diteliti, kami mendapati masih ada maklumat tambahan yang diperlukan.

“Perkara ini sudah dimaklumkan kepada Ketua Pegawai Eksekutif MFL Kevin Ramalingam dan beliau meminta semua pasukan mengemukakan maklumat tambahan dalam dokumen kewangan yang mereka hantar sebelum ini.

“Semua pasukan diberikan tempoh 48 jam berkuatkuasa hari ini untuk menyediakan maklumat tambahan itu. Selepas tempoh itu, saya akan memaklumkan kepada Ahli Lembaga Pengarah MFL untuk penilaian dan keputusan akhir,” katanya.

Difahamkan mesyuarat ahli lembaga pengarah yang akan dipengerusikan oleh Pengerusi MFL, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim akan dibuat dalam masa terdekat bagi membincangkan perkara tersebut.

Sementara itu, berhubung dengan kekeliruan mengenai jumlah pasukan yang sudah menghantar dokumen kewa­ngan, Desmond menjelaskan, pihak MFL tidak meletakkan tempoh masa pada tarikh akhir semalam.

“Apa yang pihak MFL maklumkan semalam adalah perkembangan setakat pukul 5 petang tapi ia bukan tempoh akhir penghantaran dokumen. Selepas itu masih ada dua lagi pasukan yang mengemukakan dokumen.

“Memandangkan kesemua pasukan sudah menghantar dokumen tapi masih perlu melengkapkan maklumat tambahan, jadi kami mempertimbangkan untuk memberi peluang kepada mereka untuk mengemukakan maklumat tambahan sehingga tarikh akhir esok.

“Jadi saya fikir MFL sudah memberi ruang secukupnya buat mereka mematuhi arahan ini,” tegasnya.