Pengendali Red Giants, B. Sathianathan mengingatkan anak-anak buahnya bahawa perlawanan bertemu PKNS FC boleh diibaratkan sebagai ‘hidup dan mati’ kerana masih gagal meraih kemenangan sulung.

Beliau melihat anak didiknya masih bermain dalam ketakutan dan sering melakukan kesilapan menerusi hantaran ketika melakukan serangan.

“Para penyokong tidak berpuas hati dengan keputusan seri kerana mereka mahukan kemenangan dan kita sentiasa berusaha untuk mendapatkan kemenangan.

“Boleh dikatakan perlawanan bertemu PKNS FC ibara ‘hidup atau mati’ walaupun pihak pengurusan tidak berkata apa-apa. Selepas dua perlawanan saya melihat pemain baharu masih takut melakukan kesilapan.

“Dalam bola sepak, tiada masalah lakukan kesilapan tetapi cuba memperbaiki kesilapan itu dan tidak mengulangi berulang kali,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Mengulas mengenai PKNS FC, Sathianathan mengakui kelebihan memihak kepada lawannya yang berpengalaman kerana kebanyakan pemain mereka telah kekal dalam tempoh lama berbanding Selangor yang dibarisi lapan pemain baharu.

“Pemain PKNS FC di bawah kendalian K. Rajagopal kebanyakan muka lama berbanding kita yang kembali membentuk pasukan.

“Apa pun dalam dua perlawanan sebelum ini jelas kita berjaya mencipta banyak peluang tetapi gagal menyempurnakan dalam bentuk jaringan,” ujarnya.

Sementara itu, pertahanan Selangor, Muhammad Syahmi Safari yakin rakan sepasukannya mampu meraih kemenangan pertama dan mengakui keputusan seri 1-1 yang dilakar pada dua aksi terdahulu menentang Felda United dan Petaling Jaya City FC tidak menjejaskan moral rakan sepasukan yang bersemangat memburu mata penuh di laman sendiri.