Kedudukan kewangan pasukan Perlis dan enam lagi pasukan Liga Malaysia yang berdepan masalah tunggakan gaji kini sedang dinilai oleh Ahli Lembaga Pengarah MFL selepas mereka menghantar segala dokumen kewangan pada tarikh akhir, semalam.

Berdasarkan kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam semalam, kemungkinan keputusan mengenai tindakan yang bakal diambil ke atas tujuh pasukan itu diketahui, esok.

Menurut Amizal, beliau menyerahkan segala keputusan di tangan badan pentadbir Liga Malaysia itu untuk menilai kedudukan skuad Singa Utara.

“Apa yang MFL minta Perlis buat, kita buat dengan menghantar segala dokumen kewangan yang diperlukan selebihnya kita berserah kepada MFL. Apa saja keputusan MFL kita akan terima,” katanya.

Kedudukan Perlis dalam saingan Liga Perdana terus mendapat perhatian apabila beberapa pemain membuat keputusan meninggalkan pasukan dan yang terbaru kapten, Mohd. Safee Sali.

Amizal berkata, PFA tidak ada masalah untuk melepaskan Safee menyertai kelab unifi Liga Super PJ City FC, manakala, sekurang-kurangnya lima lagi pemain turut menyatakan hasrat untuk mengikut jejak langkah pemain kebangsaan itu keluar.

“Pemain yang dapat tawaran luar, kalau mereka mahu pergi, kami akan beri pelepasan, kelmarin, memang kita sudah beri pelepasan kepada Safee kepada pasukan PJ City jadi tak ada masalah. Ada empat, lima pemain menyatakan niat secara rasmi (keluar), tapi kami belum buat apa-apa keputusan sama ada nak lepaskan mereka.

“Kita masih cuba sedaya upaya menyelesaikan masalah berbangkit ini, kita cuba bertahan selagi mana mampu, kita tahu pemain utama keluar tapi akan teruskan perancangan, kita juga ada perancangan lain,” ujarnya.

Amizal mengadakan pertemuan dengan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin, hari ini, namun, beliau mengesahkan tiada sebarang keputusan diberikan sebaliknya sekadar mendapatkan pandangan.