Pahang mengejutkan pasukan tuan rumah apabila memperoleh gol pertama pada minit kelima jaringan pemain pertahanan import Goulon Herold Mark selepas keadaan kelam kabut di depan pintu gol hasil sepakan percuma diambil Pahang sebelum itu.

Selepas gol pertama perlawanan menjadi seimbang apabila kedua-dua pasukan saling menyerang dan peluang terbaik pasukan tuan rumah hadir pada minit-14 apabila sepakan percuma yang diambil penyerang Melaka United, Liridon Krasniqi berjaya ditepis keluar penjaga gol Pahang, Mohd. Helmi Eliza Elias.

Pahang hampir menambah jaringan pada minit-31 apabila penyerang berbisanya, Dickson Nwakaeme merembat bola dari luar kotak penalti namun berjaya ditepis oleh Khairul Fahmi Che Mat.

Separuh masa kedua kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dan penyerang Melaka United, Anselmo Arruda Da Silva dilayangkan kad kuning pada minit-59 apabila mengasari Mohd. Helmi Eliza yang telah menangkap bola di depan pintu gol.

Pahang nyaris menambah gol pada minit-65 apabila Muhammad Nor Azam Abdul Azih melakukan larian solo dari luar kotak penalti menewaskan beberapa pemain pertahanan Melaka United namun bola tendangannya mengenai palang gol.

Pasukan pelawat terpaksa beraksi dengan 10 pemain bermula minit-80 apabila Muhammad Nor Azam diarahkan keluar padang selepas menerima kad kuning kedua dalam aksi kelam-kabut di depan pintu gol Pahang.

Pasukan tuan rumah menggunakan peluang itu untuk menggandakan serangan dan hasilnya pada minit-89, Safiq Rahim menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti selepas penyerang Melaka United, Patrick Reichelt dijatuhkan Mohd. Helmi Eliza dan keputusan itu kekal sehingga tamat perlawanan. - UTUSAN ONLINE